Khamis, 18 Januari 2018 | 6:21pm
KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak panik di sebalik aksi hambar anak buahnya dalam saingan Masters Malaysia. - Foto fail

Misbun tak panik

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak panik di sebalik aksi hambar anak buahnya dalam saingan Masters Malaysia terutama tiga pemain yang disenaraikan bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah bulan depan.

Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven tersingkir pada pusingan pertama Masters Malaysia selepas tewas di tangan lawan masing-masing, semalam.

Hanya Lee Zii Jia yang turut disenaraikan ke Alor Setar berjaya mara ke pusingan kedua.

Paling mengejutkan adalah kekalahan Chong Wei di tangan pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-19, 18-21, 19-21.

Bagi Misbun, Chong Wei sudah memberikan aksi terbaiknya tetapi Nishimoto bermain tanpa tekanan kerana sedar dia bukanlah pemain pilihan.

"Chong Wei sudah bermain bersungguh-sungguh tetapi apakan daya dia tewas disebabkan beberapa faktor. Saya lihat pemain Jepun itu beri persembahan terbaik dan cara dia bermain menunjukkan yang dia tidak rugi apa-apa kalau kalah sekalipun.

"Untuk Iskandar dia juga sudah berikan yang terbaik tetapi prestasinya tidak sama berbanding aksi dalam dua perlawanan pusingan kelayakan. Joo Ven pula tergamam dengan prestasi ditunjukkan lawannya, Brice Leverdez yang jelas berada pada tahap berbeza," kata Misbun.

Misbun berkata, beliau mahu pemainnya melupakan kekalahan pada pusingan pertama semalam sebaliknya kembali fokus bagi mempersiapkan diri menghadapi saingan seterusnya terutama kejohanan di Alor Setar yang juga pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018.

"Pemain perlu lupakan kekalahan ini dan fokus terhadap persiapan ke kejohanan seterusnya. Keutamaan kita sekarang adalah Kejohanan Berpasukan Asia yang juga kelayakan ke Piala Thomas, kita perlu buat persiapan terbaik," kata Misbun

Hanya empat pasukan terbaik di Alor Setar layak secara automatik ke Piala Thomas 2018 di Bangkok Thailand, Mei depan.

Berita Harian X