Khamis, 18 Januari 2018 | 12:38am
AKSI Rafael Nadal membalas pukulan pemain Argentina, Leonardo Mayer pada pusingan kedua Terbuka Australia di Melbourne, hari ini. - Foto EPA-EFE

Nadal terus 'mengganas' di Melbourne

MELBOURNE: Rafael Nadal menampilkan prestasi menakjubkan apabila melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Australia dengan kemenangan tiga set ke atas pemain Argentina, Leonardo Mayer, hari ini.

Pemain tenis nombor satu dunia dari Sepanyol itu mara hasil kemenangan 6-3, 6-4, 7-6 (7/4) ke atas pemain nombor 52 dunia itu dalam pertarungan yang berlangsung 2 jam 38 minit di Rod Laver Arena.

Nadal yang tewas di pentas final kepada Roger Federer tahun lalu akan bertemu pemain Bosnia-Herzegovina yang juga pemain ke-28 dunia, Damir Dzumhur di pusingan ketiga.

Menyifatkan latihan yang dilaluinya selepas pulih daripada kecederaan lutut tahun lalu sebagai 'amat penting', pemenang 16 kali gelaran Grand Slam itu hanya melepaskan satu servis sambil melakukan 40 pukulan kemenangan untuk melengkapkan permainan.

"Ia kemenangan yang penting buat saya, dia adalah lawan yang sukar," kata Nadal.

"Leonardo adalah pemain yang berpotensi besar, dia memukul bola dengan amat kuat dan kamu dapat melihat pada beberapa perlawanan sebelum ini betapa kuatnya dia.

"Saya perlu melakukan beberapa pukulan yang hebat pada aksi tie-break, dia lawan yang amat merbahaya. Saya gembira untuk melangkah ke pusingan ketiga selepas tidak beraksi di sebarang kejohanan dengan agak lama.

"Kemenangan kedua berturut-turut adalah amat penting bagi saya."

Dijadual bertemu Dzumhur pada Jumaat ini ketika suhu diramalkan mencecah 40 darjah selsius, Nadal menggesa penganjur untuk menutup bumbung stadium di mana dia akan beraksi.

"Satu-satunya perkara yang saya harapkan, jika keadaan cuaca amat ekstrim, saya berharap penganjur menutup bumbung. Saya fikir ia membabitkan isu kesihatan," katanya yang turut menggambarkan Dzumhur sebagai lawan yang sukar. - AFP

Berita Harian X