Selasa, 16 Januari 2018 | 12:10am
PEMAIN tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal tidak kisah mengenai kecederaan lutut akan menentang pemain Argentina di pusingan kedua. - Foto EPA-EFE

Nadal ketepi kebimbangan di Terbuka Australia

MELBOURNE: Rafael Nadal berkata dia tidak dibayangi dengan kecederaan lutut selepas mudah menyingkirkan lawannya pada pusingan pembukaan Terbuka Australia, hari ini.

Pemain tenis nombor satu dunia itu yang tewas di final tahun lalu kepada Roger Federer, mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Republik Dominica, Victor Estrella Burgos 6-1, 6-1, 6-1 dalam tempoh 94 minit di Arena Rod Laver.

Bintang kelahiran Sepanyol itu akan beraksi menentang pemain Argentina, Leonardo Mayer di pusingan kedua.

Nadal yang mensasarkan gelaran Grand Slam ke-17 dipalit dengan kecederaan lutut pada penghujung tahun lalu.

Kecederaan itu memaksanya melupakan kejohanan pemanas badan di Antarabangsa Brisbane, bulan ini dan hanya sempat mengharungi satu perlawanan di kejohanan pertunjukan Kooyong Classic di Melbourne menjelang Terbuka Australia.

Tetapi selepas perlawanan dengan Estrella Burgos, Nadal berkata dia tidak mengesan sebarang masalah di bahagian lutut kanannya yang cedera sebelum ini.

"Ia berasa bagus," kata Nadal. "Jika saya merasakan diri saya tidak bersedia, saya tidak akan berada di sini.

"Saya gembira untuk berada di sini dan gembira untuk kembali ke gelanggang sekali lagi. Saya sentiasa merasa khuatir, tetapi pada masa sama saya mempunyai keyakinan yang saya sudah bersedia untuk memulakan kejohanan dan itulah kesnya."

Nadal yang tidak menggunakan pelindung di lututnya tidak memberi sebarang peluang dengan mematahkan lapan servis Estrella Burgos selain 28 pukulan kemenangan untuk melengkapkan kemenangan pertama. - AFP

Berita Harian X