Selasa, 9 Januari 2018 | 12:08pm
BEKAS juara, Stan Wawrinka nyatakan komitmennya untuk sertai Terbuka Australia.

Wawrinka gembirakan penganjur

MELBOURNE: Bekas juara, Stan Wawrinka menggembirakan penganjur Terbuka Australia selepas menyatakan dia benar-benar positif mengenai musim baru ini dan tak sabar kembali ke gelanggang.

Kejohanan pembuka tirai grand slam tahun ini hilang seri selepas kehilangan Andy Murray, Serena Williams dan Kei Nishikori yang menarik diri akibat masalah kesihatan dan kecederaan. Rafael Nadal dan Novak Djokovic juga berdepan masalah kecederaan berpanjangan.

Wawrinka yang dilanda kecederaan lutut tidak beraksi sejak tewas pusingan pertama Kejohanan Wimbledon tahun lalu dan penyertaannya di Melbourne menjadi tanda tanya.

"Saya sungguh gembira dapat kembali dan melihat matahari," kata Wawrinka kepada wartawan dalam satu acara di Melbourne Park, pagi tadi.

"Banyak yang perlu dilakukan tetapi saya rasa semakin positif," katanya.

Wawrinka dijadualkan menyertai perlawanan pertunjukan Tiebreak Tens esok dan pengarah kejohanan Craig Tiley berkata, mereka mengalu-alukan berita juara tiga kali grand slam itu dapat kembali semula beraksi. s

"Terdapat banyak persoalan dan kami gembira Wawrinka akhirnya dapat datang ke sini. Dia sudah sedia untuk bermain dan saya nampak dia berlatih," kata Tiley.

Terbuka Australia berlangsung pada 15 -28 Januari ini. - Reuters

Berita Harian X