Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:03pm
KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek akui barisan pemain yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) adalah yang terbaik. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Ini skuad terbaik negara: Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui barisan pemain yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) adalah membabitkan tonggak terbaik di dalam negara termasuk Soong Joo Ven.

Menurutnya, nama yang dibariskannya itu adalah tunjang kekuatan pasukan Malaysia dan membabitkan pemain terbaik di dalam negara.

"Itu yang terbaik walaupun pada dasarnya ada yang melihatnya seperti tidak kuat. Bagaimanapun, kesemua mereka masih mempunyai peluang untuk berjuang demi negara. Dari situ kita akan mendapat satu pasukan yang ampuh," katanya yang turut membariskan Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Selepas pengumuman skuad berkenaan semalam Misbun berharap semua pemain dapat mempersiapkan diri menjelang kejohanan berkenaan bulan depan.

"Saya sebagai jurulatih juga harus mempersiapkan mereka supaya sentiasa berada dalam situasi terbaik. Saya akan sentiasa bersama mereka untuk menilai dan meningkatkan prestasi mereka. Paling penting sekarang ini ialah persiapan ketika dalam latihan.

"Selepas lima bulan saya di sini, memang saya puas hati dengan latihan dan persiapan mereka. Saya juga masih belum ada perancangan untuk latihan pusat di tempat lain. Apa yang akan saya buat ialah latihan untuk membina kekuatan mereka, biar jadi seperti Chong Wei," kata Misbun.

Ditanya mengenai pemilihan Joo Ven dalam skuad berkenaan, Misbun berkata dia sudah memantau perkembangan pemain berusia 22 tahun itu sejak temasya Sukan SEA 2017 lagi.

"Ketika itu dia menjadi perseorangan kedua dan saya lihat dia memang mempunyai potensi. Saya lihat dia boleh dibentuk dari sekarang, dia juga kelihatan agak seimbang berbanding pemain lain yang sedia ada.

"Dia seimbang daripada segi prestasi, jadi saya akan memberi peluang ini dan menyiapkannya menjelang kejohanan berkenaan. Saya harap dia mampu menggalas tugasan yang diberikan ini," kata Misbun.

Pemilihan Joo Ven, menamatkan teka-teki perseorangan keempat yang membabitkan beberapa pemain lain seperti Zulfadli Zulkiffli, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing, Chong Wei Feng dan Liew Daren.

Jun Hao yang juga juara remaja Asia akan turut sama menyertai pasukan ke Alor Setar (6 hingga 11 Februari) untuk menimba pengalaman dan merasai sendiri suasana acara berpasukan.

Berita Harian X