Khamis, 4 Januari 2018 | 9:22pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sasar tiga emas pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto BERNAMA

Badminton sasar tiga emas Komanwel

KUALA LUMPUR: Tiga emas menjadi sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sekali gus cuba mengulangi pencapaian empat tahun lalu di Glasgow Scotland.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata sasaran yang ditetapkan itu berdasarkan pencapaian empat tahun lalu dan senarai pemain bakal menyertai temasya berkenaan.

"Kita sudah membuat keputusan dan mencadangkan senarai nama pemain kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan 8 Januari ini (Isnin depan)," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

BAM menyenaraikan lima pemain lelaki dan lima pemain wanita ke temasya berkenaan dengan diketuai jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Chan Peng Soon, Tan Kian Meng (lelaki), Goh Liu Ying, Lai Pei Jing, Goh Jin Wei, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei (wanita).

"Senarai pemain ini berdasarkan taktikal dengan mengharapkan pemain yang mempunyai prospek untuk meraih pingat," kata Norza.

Pada edisi empat tahun lalu, Malaysia meraih emas menerusi gandingan V Shem-Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian-Khe Wei (beregu wanita) dan berpasukan campuran.

Pada 2010 Malaysia berjaya meraih empat emas iaitu pencapaian terbaik di Komanwel menerusi Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chin Eei Hui-Koo Kien Keat (beregu campuran) dan berpasukan campuran.

Chong Wei bukan saja memburu emas terakhir Komanwel tapi yang ketiga buatnya selepas 2006 (Melbourne) dan 2010 (New Delhi).

Berita Harian X