Rabu, 13 Disember 2017 | 10:54am
VICTORIA Azarenka dianugerahkan tiket wildcard bagi beraksi di saingan Grand Slam pertama 2018, Januari ini. - Foto Reuters

Wildcard Terbuka Australia 'penawar' Victoria

MELBOURNE: Juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka yang 'tersepit' di mahkamah berikutan perebutan hak penjagaan anak lelakinya dianugerahkan tiket wildcard bagi beraksi di saingan Grand Slam pertama 2018 itu, Januari ini.

Pengarah kejohanan, Craig Tiley berkata segala bantuan akan disalurkan kepada bekas pemain nombor satu dunia dari Belarus itu supaya dia boleh bertanding di Melbourne selaku kejohanan yang mengangkat namanya sebagai antara pemain tenis terbaik dunia.

"Situasi semasa Vika ketika ini jelas amat sukar baginya dan kami mencapai kata sepakat untuk menawarkan sebarang sokongan yang boleh kami berikan," kata Tiley.

"Sebagai juara dua kali Terbuka Australia, kami menganugerahkannya penampilan wildcard dan berharap untuk melihat dia kembali ke gelanggang di Melbourne pada Januari."


VICTORIA Azarenka kini berada pada ranking ke-210 dunia, teruja untuk kembali beraksi di kejohanan Grand Slam pertama tahun depan. - Foto Reuters

Victoria pulang daripada rehat cuti bersalin pertengahan tahun lalu tetapi dia terpaksa melepaskan aksi di Terbuka Amerika Syarikat pada Ogos selepas hakim di Los Angeles yang mengendalikan ke hak penjagaan anak lelakinya, Leo memutuskan kanak-kanak itu tidak boleh meninggalkan California sehingga kes itu selesai.

Victoria yang jatuh ke ranking 210 dunia berkata dia teruja untuk kembali beraksi di kejohanan Grand Slam pertama tahun depan.

"Saya amat teruja untuk kembali ke Melbourne bagi Terbuka Australia yang juga kejohanan kegemaran saya," kata Victoria. "Saya menang di sini sebanyak dua kali dan sentiasa merasa amat selesa di gelanggang dan bandarayanya juga hebat.

"Ia tahun yang sukar dan kejayaan untuk kembali ke Terbuka Australia jelas cara yang amat positif bagi memulakan tahun 2018. Saya mahu berterima kasih kepada Craig dan pasukannya kerana memahami serta memberi sokongan dan saya tidak sabar untuk bertemu peminat-peminat saya di Australia sekali lagi."

Terbuka Australia bermula pada 15 sehingga 28 Januari ini. - Reuters

Berita Harian X