Ahad, 5 November 2017 | 12:51pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tewas kepada wakil Denmark Rasmus Gemkepada aksi separuh akhir Terbuka Bitburger, semalam.

Letih, gopoh punca Zhi Jia tumpas

KUALA LUMPUR: Keletihan dan sikap terlalu yakin untuk menang membawa padah kepada perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang tersungkur pada aksi separuh akhir Terbuka Bitburger di Jerman semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu yang bangkit untuk melepasi suku akhir pada Jumaat, tewas mudah 21-11, 21-12 kepada wakil Denmark Rasmus Gemke pada peringkat separuh akhir.

Zii Jia, yang baru-baru ini menjuarai Siri Antarabangsa Poland, bagaimanapun mengambil pengajaran daripada pencapaiannya di Eropah dan berazam bangkit pada Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, minggu depan.

Kekalahan itu juga menamatkan cabaran Malaysia dalam kejohanan itu.

"Selepas bermati-matian menentang pemain Perancis Brice Leverdez pada Jumaat, saya fikir saya mampu teruskan dan mara ke final," kata Zii Jia.

"Saya rasa letih, tetapi juga disebabkan saya fikir mampu menang mudah. Ini pengajaran yang saya terima.

"Saya masih gembira dengan aksi saya di sini dan sekali lagi ingin berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam program pembangunan saya.

"Saya akan menyertai Cabaran Antarabangsa Malaysia selepas ini, saya berjanji akan memberi yang terbaik."

Pemain kelahiran Kedah itu kini mahu meletakkan dirinya dalam kelompok 40 terbaik dunia hujung tahun ini.

"Saya berharap dapat meletakkan diri dalam kelompok 60 terbaik dunia sebelum ini tetapi saya sudah mencapainya. Saya fikir sasaran kini adalah 40 teratas," kata pemain ranking 55 dunia itu.

33 dibaca
Berita Harian X