Sabtu, 4 November 2017 | 10:06pm
PEMAIN perseorangan badminton Malaysia, Lee Zii Jia sifatkan prestasi cemerlangnya disebabkan bimbingan dan masa yang diberikan Morten Frost. - Foto Aizuddin Saad

Zii Jia terhutang budi kepada Frost

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyifatkan prestasi cemerlangnya ketika ini disebabkan bimbingan dan masa yang diberikan oleh bekas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen selain jurulatih perseorangan lelaki lain.

Sejak meraih gelaran pertamanya di peringkat senior dengan menjuarai Siri Antarabangsa Poland September lalu, Zii Jia terus menunjukkan peningkatan positif di Eropah apabila mara ke separuh akhir buat kali ketiga kejohanan bertaraf Grand Prix Emas dengan terbaharu pada saingan Terbuka Bitburger di Jerman.

Pemain perseorangan lelaki kedua negara itu berjaya melepasi sasaran awalnya untuk berada dalam kelompok 60 terbaik dunia apabila dia kini menghuni ranking ke-55 dunia.

"Terlalu banyak perkara yang berlaku terhadap saya dalam tempoh setahun ini. Saya sentiasa bekerja keras dalam latihan dan saya meraih pengalaman berharga menerusi setiap kejohanan saya sertai," kata pemain berusia 19 tahun itu yang menewaskan pilihan ketiga dari Perancis, Brice Leverdez pada suku akhir.

"Saya cuba tidak banyak berfikir kerana saya mahu fokus dan memberikan aksi terbaik. Ada kalanya, saya gagal tapi saya tidak pernah berputus asa.

"Saya terhutang budi kepada individu seperti Morten Frost dan semua jurulatih perseorangan lelaki (Datuk Misbun Sidek, Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob).

Mereka banyak membantu saya. Ini cara untuk saya membalas jasa mereka dengan menghasilkan keputusan yang cemerlang." Frost yang memegang jawatan pengarah teknikal selama tiga tahun meletak jawatan dua bulan lalu atas alasan masalah peribadi.

Zii Jia yang dilabel sebagai bintang dalam pembikinan untuk Malaysia akan berdepan pemain Denmark, Rasmus Gemke bagi perebutan tempat ke final tengah malam ini.

20 dibaca
Berita Harian X