Selasa, 17 Oktober 2017 | 8:29pm
KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock teruja dianugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Sue Bock kini lebih bersemangat

KUALA LUMPUR: Selepas 22 tahun mengabdikan diri membantu membangunkan sukan badminton negara, pengorbanan itu dianggap berbaloi buat Tey Seu Bock.

Sabtu lalu, ketua jurulatih perseorangan wanita negara itu menerima pengiktirafan tertinggi dalam kerjayanya apabila dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang ke-79.

Seu Bock yang sudah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2002, berkata pengiktirafan berkenaan memberikan suntikan semangat buat dirinya untuk terus bekerja keras bagi meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar sukan itu, terutama membabitkan acara perseorangan wanita.

"Ini pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya saya, terima kasih diucapkan atas anugerah ini. Saya anggap ini sebagai kepercayaan untuk saya terus membantu membangunkan sukan badminton tanah air," kata Seu Bock.

Mungkin kerjayanya sebagai pemain tidak sehebat pemain seangkatannya seperti Owe Ewe Hock atau Yong Hock Kin namun kredibiliti Seu Bock sebagai jurulatih tidak boleh dipertikaikan.

Sebelum diberi peranan menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan wanita, Julai lalu, beliau adalah watak penting di sebalik kejayaan dilakar jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Tiga kali Chong Wei meraih pingat perak Olimpik dengan Seu Bock menjadi individu penting di belakang bekas pemain nombor satu dunia itu mencipta kejayaan berkenaan.

Pada edisi 2008 di Beijing, Seu Bock memikul tanggungjawab membantu Datuk Misbun Sidek mempersiapkan Chong Wei sehingga pemain berkenaan memenangi pingat pertamanya di temasya terbesar dunia itu.

Seu Bock mengambil alih peranan sebagai jurulatih tetap Chong Wei pada awal 2011 susulan peletakan jawatan Misbun pada hujung 2010.

Selain berjaya membawa Chong Wei merangkul pelbagai gelaran antarabangsa, sentuhan Seu Bock juga memastikan pemain itu meraih perak keduanya pada Olimpik 2012 di London.

Kombinasi Seu Bock bersama seorang lagi jurulatih, Hendrawan sekali lagi membantu Chong Wei meraih perak ketiga di Olimpik Rio 2016.Kini, Seu Bock yang memulakan kerjaya jurulatih bersama Kelab Badminton Nusa Mahsuri pada 1995 mengakui beliau memikul tanggungjawab besar iaitu meningkatkan tahap barisan pemain perseorangan wanita negara yang dilihat masih jauh ketinggalan.

"Ini cabaran besar tapi cabaran seperti ini yang akan terus membakar semangat saya. Mungkin ia mengambil masa tapi saya percaya dengan kualiti pemain yang dimiliki, kita mampu menghasilkan pemain wanita bertaraf dunia," katanya.

Berita Harian X