Khamis, 5 Oktober 2017 | 4:06pm
DATUK Nicol David akan mengetuai cabaran Malaysia ke temasya Sukan Komanwel di Australia, tahun depan dan menjadi taruhan skuad skuasy negara mengekalkan pencapaian tiga tahun lalu di Glasgow, Scotland. - Foto Owee Ah Chun

Nicol taruhan terbaik buru emas di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) masih yakin dengan kemampuan Datuk Nicol David untuk membantu negara meraih emas pada temasya Sukan Komanwel di Australia, tahun depan.

Nicol akan mengetuai cabaran negara ke temasya itu dan menjadi taruhan skuad skuasy mengekalkan pencapaian tiga tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Biarpun dengan prestasi tidak menentu, namun Nicol namun masih lagi pemain terbaik negara dengan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam berkata, Malaysia akan beraksi dalam lima acara di Gold Coast, Australia.

Acara terbabit ialah dua dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta tiga beregu iaitu beregu lelaki, wanita dan campuran.

"Harapan untuk pingat emas masih lagi diletakkan kepada Nicol selain pingat dalam acara beregu.

"Bagaimanapun kita tidak terlalu memberi fokus dalam acara beregu kerana ia kurang dipertandingkan sebelum ini di mana-mana pertandingan.

"Jadi perancangan utama adalah memberi peluang kepada kesemua pemain beraksi sebanyak mungkin dalam acara perseorangan sebagai persediaan untuk menghadapi temasya Komanwel nanti," katanya.

Tiga tahun lalu, Nicol menjadi penyumbang tunggal pingat emas dalam skuasy selepas menewaskan Laura Massaro dari England.

Maniam menegaskan, senarai nama sudah diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain turut menyenaraikan beberapa muka baharu.

Sementara itu, SRAM kini sedang memikirkan perancang terbaik buat Nicol, sama ada hanya meletakkannya beraksi dalam acara perseorangan ataupun beregu.

Mengulas mengenai pencabar yang mungkin menjadi penghalang utama kepada Nicol meraih emas, Maniam menjelaskan, Engladn masih kekal sebagai pencabar utama Malaysia.

"Semua orang tahu Nicol baru tewas kepada Sarah-Jane Perry di Kejohanan Skuasy Terbuka Netsuite di Francisco, Amerika Syarikat dan ia adalah satu pertarungan sengit.

"Namun, itu bukan penghalang untuk Nicol menebus kehampaan di Komanwel nanti," katanya.

Antara pemain yang disenaraikan ialah Nafiizwan Adnan, Yuen Chee Wern, Ng Eain Yow, Mohammad Syafiq Mohd Kamal dan Sanjay Singh Chal.

Manakala pemain wanita pula ialah Nicol, Low Wee Wern, S Sivasangari, Rachel Arnold, Andrea Lee dan Aifa Azman.

Berita Harian X