Ahad, 27 Ogos 2017 | 2:26pm
AKSI Lin Dan (atas) beraksi menentang pemain Korea Selatan, Son Wan Ho di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow. - Foto EPA

Lin Dan, Axelsen buat perhitungan final badminton dunia

GLASGOW: Lin Dan kekal dalam laluan merebut kejuaraan perseorangan lelaki dengan rekod kali keenam pada Kejohanan Badminton Dunia, di sini, selepas mengatasi pilihan utama, Son Wan Ho di peringkat separuh akhir.

Bintang China ini yang menang kejuaraan terakhir pada 2013, menewaskan Wan Ho 21-17, 21-14 untuk layak ke final dunia buat kali ketujuh.

Dalam perlawanan penentuan malam ini, Lin Dan menentang pemain muda Denmark, Viktor Axelsen.

Lin Dan, 33, mungkin berada di penghujung kariernya, namun dia mudah mengatasi pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun dari Korea Selatan itu.

Lima mata berturut-turut dikutip ketika ketinggalan 15-16, membantunya memenangi set pertama dan dia menggunakan kelebihan pada pertengahan set kedua untuk meloloskan diri.


AKSI Lin Dan beraksi menentang pemain Korea Selatan, Son Wan Ho di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow. - Foto EPA

PEMAIN Denmark, Viktor Exelsen beraksi menentang pemain China, Chen Long pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow. - Foto EPA

"Setiap orang bercakap mengenai usia saya, tapi saya sudah buktikan boleh bermain di peringkat tertinggi," katanya.

"Acara perseorangan lelaki amat sukar ketika ini. Ia laluan yang sukar untuk ke final.

"Saya sering berasa gementar sebelum perlawanan besar tapi saya amat gembira kerana mempunyai sokongan hebat di sini."

Pada satu lagi separuh akhir, Axelsen membalas dendam ke atas juara bertahan, Chen Long dari China. Pilihan ketiga itu menang 21-9, 21-10 dalam tempoh 39 minit.

- AFP

Berita Harian X