Selasa, 15 Ogos 2017 | 6:48pm
PEMAIN squash Malaysia, Rachel Arnold. - Foto Osman Adnan

Genever yakin skuasy tuai 7 emas

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad skuasy kebangsaan, Peter Genever yakin kemampuan pemain muda di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu memenuhi sasaran tujuh emas yang ditetapkan.

Juara bertahan acara perseorangan wanita, Rachel Arnold, yang menghuni ranking ke-52 dunia adalah pemain paling berpengalaman dalam barisan 16 pemain yang disenaraikan.

Selepas memenangi empat pingat emas di Singapura, dua tahun lalu, pemain negara dijangka memenangi tiga saingan double dan mempertahankan emas lelaki dan wanita serta acara berpasukan.

"Saya yakin ia mampu dicapai," kata Genever mengenai sasaran itu selepas kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

"Penting bagi kami tidak memandang rendah keupayaan lawan, terutama dalam acara double yang agak sukar diramal dan boleh memberi keputusan mengejutkan.

"Jadi kita perlu fokus sepenuhnya dari pusingan awal. Tiada perlawanan yang mudah," katanya.

Pemain negara diletakkan sebagai pilihan pertama dalam tujuh daripada sembilan acara yang dipertandingkan, selepas Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memutuskan tidak menyertai dua daripada acara double.

Pilihan pertama, Ng Eain Yow, juara remaja dunia 2016 dan Syafiq Kamal akan menggalas caran negara dalam acara perseorangan lelaki manakala juara remaja kebangsaan, S Sivasangari menyertai Rachel dalam acara perseorangan wanita.

Sanjay Singh Chal, pemenang emas perseorangan lelaki pada 2015, akan bermain dalam acara double campuran, berpasangan dengan Sivasangari manakala Syafiq-Eain Yow dan Rachel-Aifa Azman, masing-masing beraksi dalam cara double lelaki dan wanita.

"Tahap persediaan adalah bagus walaupun agak berbeza kerana ada pemain yang memberi tumpuan untuk Kejohanan Double Dunia," kata Genever.

"Empat pemain perseorangan juga berada di tahap yang baik di mana Sivasangari baru beraksi di Kejohanan remaja Dunia dan rachel pula di Kejohanan Dunia. Pemain lelaki sudah agak lama tidak beraksi tetapi saya menaruh keyakinan terhadap mereka.

"Pasukan tampak sudah bersedia walaupun dilanda beberapa kecederaan kecil, masalah buku lali di mana kami akan terus memantau situasi mereka."

Dalam acara berpasukan lelaki, Malaysia diundi bersama Indonesia dan Thailand dalam Kumpulan A manakala pasukan wanita berdepan Filipina dan Thailand di peringkat awal.

Berita Harian X