Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:33pm
KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock. - Foto Goh Thean Howe

Yen Mei, Ying Ying perlu sedia ganti Jin Wei

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan wanita, Tey Seu Bock mahu Ho Yen Mei dan Li Ying Ying bersedia diturunkan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) andai Goh Jin Wei belum boleh beraksi susulan masalah kecederaan buku lali.

Jin Wei ketika ini masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan dialaminya ketika Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Bekas juara remaja dunia 2015 itu hanya dijangka kembali menjalani latihan di gelanggang, minggu depan.

Seu Bock, berkata dia berharap Jin Wei mampu pulih sebelum saingan acara berpasukan bermula pada 23 Ogos ini kerana pemain berusia 17 tahun itu adalah sandaran utama selain Sonia Cheah.

"Sudah pasti saya mengharapkan Jin Wei pulih dengan cepat tetapi dalam masa sama saya tetap perlu memantau perkembangan kecederaannya. Kehadiran Jin Wei penting untuk pasukan.

"Namun, jika keadaan masih tidak mengizinkan, saya mahu Yen Mei dan Ying Ying bersedia untuk diturunkan. Salah seorang daripada mereka akan beraksi bersama Sonia," kata Seu Bock.

Skuad wanita negara akan membuka tirai saingan acara berpasukan menentang Myanmar dan jika menang dijangka bertemu Indonesia untuk aksi separuh akhir sebelum Thailand diramal menanti di pentas final.

Mengulas lanjut, Seu Bock turut meletakkan sasaran buat barisan pemain perseorangan wanita negara untuk meraih satu pingat tidak kira warna pada temasya dwitahunan kali ini.

"Saya harap pemain perseorangan wanita mampu meraih satu pingat tidak kira warna sekalipun. Berdasarkan ranking, kita ada peluang untuk mencapainya," kata Seu Bock.

Dua tahun lalu di Singapura, Jin Wei berjaya memenangi gangsa.

Jin Wei dan Sonia disenaraikan untuk menggalas cabaran Malaysia untuk saingan individu.

Berita Harian X