Isnin, 24 Julai 2017 | 7:18am
JOHN Isner.

Tenis: Isner akhiri kemarau 2 tahun

WASHINGTON: Pemain pilihan utama dari Amerika Syarikat, John Isner melakukan 17 'ace' menewaskan pemain Australia, Matthew Ebden 6-3, 7-6 (7/4) sekali gus menjuarai Terbuka ATP Hall of Fame.

Pemain berusia 32 tahun itu memenangi 37 daripada 41 mata servis pertama dalam 74 minit bagi meraih gelaran ke-11 dalam karier ATP dan yang ketiga di padang rumput Newport, Rhode Island selepas tahun 2011 dan 2012.

"Saya gembira dengan permainan di sepanjang minggu ini. Ia minggu yang sempurna.

"Tidak ada yang lebih baik daripada ini, " kata Isner.

Pentas final ini yang pertama dalam karier Ebden, seorang pemain di ranking terbawah ATP sejak 2009 dengan berada di tangga ke-249.

"Ia mengecewakan tetapi pada masa sama saya harus gembira dengan minggu ini," kata Ebden, 29, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel.

Ia gelaran pertama Isner sejak Atlanta 2015 dan muncul di pentas final pertama selepas Paris Masters, November lalu yang menyaksikannya tewas di tangan pemain Britain, Andy Murray.

"Sudah dua tahun saya tidak menjuarai apa-apa kejohanan.

"Sukar untuk menjuarai kejohanan. Apapun, saya sangat gembira mengenainya, " kata Isner.

AFP

Berita Harian X