Ahad, 23 Julai 2017 | 8:06am
JOHN Isner.

Isner, Ebden berentap rebut gelaran Hall of Fame

WASHINGTON: Pilihan utama kejohanan, John Isner mudah menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat (AS), Bjorn Fratangelo 6-2, 6-4 untuk menempah tiket final tenis Terbuka ATP Hall of Fame bertemu pemain Australia, Matthew Ebden, pagi tadi.

Isner yang menang straight set dalam tiga perlawanan minggu ini di gelanggang rumput di Newport, Kepulauan Rhode kini sedang memburu gelaran ke-11 dalam kariernya dan ketiga untuk kejohanan Hall of Fame selepas muncul juara pada 2011 dan 2012.

"Saya bermain tiga perlawanan dan enam set. Saya tidak bermain satu pun set penentuan, saya tidak dapat mengingati bilakah kali terakhir saya melakukan perkara sama," kata Isner.

Ebden pula adalah finalis yang berada di ranking terendah dalam ATP tahun ini, ke-249, mara selepas menewaskan pemain di ranking ke-131 dari Jerman Peter Gojowczyk 6-3, 6-3 di satu lagi saingan separuh akhir.

Pemain kelahiran Afrika Selatan berusia 29 tahun yang pernah menghadiahkan pingat gangsa di Sukan Komanwel itu dan beraksi di separuh akhir pertamanya di ATP, hanya memerlukan 62 minit untuk melangkah ke pentas final.

"Ini sangat menyeronokkan.

"Saya tidak mempercayainya. Saya sangat gembira. Sudah tentu tiada apa lagi selain gembira, bukan hanya kerana menang tetapi dapat beraksi dalam banyak perlawanan, " kata Ebden.

Isner yang meraih gelaran terbaru ATP di Atlanta pada 2015, bakal memasuki gelanggang final pertamanya sejak kali terakhir di Paris Masters, November lalu tetapi tewas di tangan pemain British, Andy Murray.

Mengulas mengenai pertembungan final nanti, Isner yang memenangi kedua-dua rekod pertemuan menentang Ebden sebelum ini berkata: "Ia akan menjadi perlawanan sengit.

"Dia berada dalam prestasi terbaik dan saya fikir ini adalah permukaan gelanggang terbaik buat dirinya."

AFP

Berita Harian X