Sabtu, 22 Julai 2017 | 7:53am
PILIHAN utama dari Amerika Syarikat (AS), John Isner. - Foto AFP

Isner ledak 20 'ace'

WASHINGTON: Pilihan utama dari Amerika Syarikat (AS), John Isner, meraih 20 pukulan 'ace' untuk menewaskan rakan senegaranya, Dennis Novikov 6-4, 6-4 sekali gus mara ke separuh akhir tenis Terbuka Dewan Kemasyhuran ATP.

Isner yang menghuni ranking ke-21 dunia, merakam kemenangan dalam tempoh 73 minit untuk menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain AS, Bjorn Fratangelo, pada aksi di atas gelanggang rumput di Newport, Kepulauan Rhodes itu.

"Perlawanan di permukaan rumput membabitkan dua pemain yang memiliki servis baik.

"Anda cuma boleh memenangi satu set daripada lawan dan bertahan dengan kelebihan itu. Itu yang saya lakukan," kata Isner.

"Saya yakin mampu mendahului dengan dua set pada set kedua tetapi saya menghabiskan banyak masa untuk memenangi set daripada lawan.

"Apa pun, saya gembira menamatkan perlawanan dalam tempoh singkat, maka saya lebih bersedia untuk aksi separuh akhir."

Terdahulu, Fratangelo yang juga pemain nombor 142 dunia, mengejutkan pilihan keempat, Pierre-Hugues Herbert 6-2, 5-7, 6-4 pada aksi suku akhir untuk menempah pertemuan pertama dengan Isner.

Isner, juara Newport 2011 dan 2012 itu kini mengintai kejuaraan ke-11 dalam kariernya untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir menjulang trofi Atlanta 2015.

Kali terakhir dia melangkah ke pentas akhir adalah pada aksi Paris Masters namun tunduk pada pilihan utama, Andy Murray, November tahun lalu. - AFP

Berita Harian X