Rabu, 11 Disember 2019 | 7:24pm
KETUA jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Manshahar puas hati olahraga capai sasaran

CLARK: Meskipun hanya mencapai keputusan 'cukup makan', namun ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil tetap gembira dengan kejayaan memenuhi sasaran lima pingat emas.

Malah, dia berharap pencapaian lebih baik akan dapat diraih oleh atlet negara pada edisi Sukan SEA dua tahun lagi sambil tidak menafikan ada beberapa atlet tumpuan gagal memenangi emas.

"Secara kesuruhan kami amat berpuas hati dengan pencapaian lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa. Tetapi ada juga atlet yang gagal seperti Jackie Wong (baling tukul besi lelaki) yang kita jangkakan emas. Kami akan melakukan bedah siasat selepas ini untuk melihat punca kepada kegagalannya itu.

"Untuk Grace Wong (baling tukul besi wanita) pula kami sememangnya meletakkannya untuk meraih perak kerana tahu prestasi semasanya.

"Bagi persediaan di Vietnam, ia perlu bermula daripada sekarang khususnya dalam soal pemilihan atlet dan jurulatih supaya kita memperoleh pencapaian lebih cemerlang di Vietnam," katanya di sini, hari ini.

Jelas Manshahar, fokus paling terdekat selepas ini adalah untuk mempersiapkan atlet bagi menghadapi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.

"Persediaan sudah pun dilakukan sejak empat tahun lalu. Untuk tahun depan kami akan melihat siapa yang layak ke Sukan Olimpik dan kemudian akan mengatur perancangan terbaik untuk mereka," katanya.

Berita Harian X