Selasa, 10 Disember 2019 | 11:20am
ATLET pecut negara, Rayzam Shah Wan Sofian beraksi dan meraih pingat perak dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 di Stadium Olahraga New Clark City. NSTP/Aizuddin Saad

Malaysia kemuka bantahan kekalahan Rayzamshah

 

CLARK: Kem Olahraga negara sudah mengemukakan bantahan terhadap tuan rumah Filipina selepas mendakwa pingat emas 110 meter (m) lari berpagar Rayzamshah Wan Sofian 'dirompak'.

Kontroversi mula timbul apabila juri mengumumkan pelari Filipina, Clinton Kingsley Bautista sebagai pemenang menerusi keputusan 'photo finish' selepas kedua-dua pelari melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama - 13.97 saat (s).

Ia sekali gus menyaksikan Rayzam, 31, gagal dalam misi mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil, berkata selain bantahan kepada juri, pihaknya juga akan membawa perkara itu kepada Panel Abritasi Persekutuan Sukan SEA (SGF).

"Sekarang ini kita dalam proses untuk menidakkan emas dimenangi Filipina yang mana kita sudah mengemukalan bantahan secara lisan dan juga bertulis kepada juri.

"Segala protes sudah dibuat dalam jangkamasa ditetapkan tetapi hasil keputusan awal diberikan tidak mengikut prosedur badan olahraga dunia.

"Malah, usaha kita itu juga dipandang remeh," katanya dalam sidang media khas di Perkampungan Sukan New Clark City, pagi tadi.

Dakwa Manshahar, proses penjurian juga tidak mengikut prosedur ditetapkan.

"Saya boleh gambarkan emas kita 'dirompak' kerana kita sudah mengikut segala prosedur tetapi ia tidak diendahkan. Saya rasa itu adalah pingat emas sepatutnya pada Rayzam.

"Pertama permohonan kita untuk melihat video tidak dibenarkan oleh pihak teknikal dan penganjur. Dan kita juga hanya diberikan satu gambar hitam putih, sepatutnya gambar yang berwarna.

"Kemudian daripada aspek pandangan sudut di mana pihak penganjur hanya berikan pandangan sudut sebelah kanan saja yang mana pelari Filipina seolah-olah di depan Rayzam tetapi pandangan sebelah kiri tidak diberikan.

"Di peringkat antarabangsa juri sepatutnya berkongsi gambar kedua-dua sudut... Pada saya perkara itu sepatutnya tidak terjadi," katanya.

Berita Harian X