Ahad, 17 November 2019 | 7:26pm
Kuartet 4x100 meter (m) campuran negara dibarisi dari kiri; Azreen Nabila Alias, Jonathan Nyepa, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixson Kennedy.

Kuartet 4x100m campuran makin pantas

KUALA LUMPUR: Kuartet 4x100 meter (m) campuran negara dibarisi Azreen Nabila Alias, Jonathan Nyepa, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixson Kennedy menunjukkan peningkatan menjelang Sukan SEA apabila merakam catatan masa lebih baik dalam acara berkenaan di Stadium Mini Bukit Jalil, hari ini.

Empat pelari yang bakal menggalas cabaran di Filipina itu mencatat 42.53 saat (s) untuk meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka BJSS-Innotex, sekali gus memperbaiki rekod terdahulu, 43.91s milik mereka yang dicipta di Kejohanan Olahraga Perak All Comers, Oktober lalu.

“Alhamdulillah setakat ini kami sudah buat lebih baik kerana sebelum ini catatan masa kami adalah 43.91s,” kata Zaidatul Husniah, hari ini. 

“Kami bersyukur dapat lakukan catatan masa itu kerana kami jarang berlatih bersama. Alhamdulillah kami dapat buat terbaik dan masing-masing faham satu sama lain, jadi ia sudah baik untuk pasukan ini.”

Pingat perak acara 4x100m campuran menjadi milik pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang mencatat 44.85s sementara gangsa milik pasukan Innotex, 44.99s.

Disoal adakah catatan masa dicipta di Bukit Jalil mampu menghadiahkan pingat di Sukan SEA nanti, Husniah berkata ia bukan jaminan kerana 4x100m campuran adalah acara baharu di temasya dwitahunan kali ini.

“Bagi kami, tak dapat bayangkan lagi kerana ia pertama kali dimainkan di Sukan SEA, jadi catatan masa tak tahu mampu memenangi pingat atau tidak.

“Tapi bagi saya catatan ini sudah baik kerana kami masih belum bersaing dengan negara lain seperti Vietnam dan Filipina. Ia adalah catatan peribadi untuk pasukan kami,” kata Olimpian itu ketika ditemui di sini, hari ini.

Berita Harian X