Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:44pm
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias (tengah, barisan belakang) bersama kontinjen Malaysia melaungkan kata semangat sempena Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya INAS Global Brisbane 2019 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Iasah ke Brisbane perbaiki corak larian

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga para negara, Siti Nor Iasah Muhamad Ariffin tekad memperbaiki corak larian dan catatan masa menjelang Kejohanan Global INAS Brisbane 2019 (INAS Global Games Brisbane 2019) 12 hingga 19 Oktober ini.

Iasah yang meraih kedudukan keempat dalam acara 400m wanita T20 (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Rio 2016 berkata, ini bagi membolehkan persiapan dilakukan menjelang kejohanan lebih besar selepas ini.

“Saya tak tahu sekuat mana saingan di Brisbane (400m) tapi saya akan jadikan ia sebagai persiapan untuk Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai (November) dan persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Ini kerana saya mahu tebus kekecewaan ketika di Rio 2016,” kata Iasah, 30, yang kecewa meraih tempat keempat acara 400m apabila pelari Poland, Barbara Niewiedzial merebahkan badannya di garisan penamat untuk pingat gangsa.

Malaysia membuat bantahan atas tindakan berkenaan, namun ditolak penganjur yang mengekalkan gangsa kepada Niewiedzial.

Sementara itu, Ketua Delegasi, Law King Kiew berkata meskipun ia adalah penyertaan pertama Malaysia ke INAS, beliau percaya kontinjen negara mampu memberikan aksi terbaik.


Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara Malaysia, Suhardi Alias menyerahkan Jalur Gemilang kepada Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Law King Kiew (tiga dari kanan) sempena gimik ‘INAS Global Games Brisbane 2019' di Pusat Paralimpik Malaysia, hari ini. Turut serta Pengarah Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Halimon Mohamad Sood (kanan); Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, John Ng Keng Chuan (dua dari kiri) dan atlet negara, Anas Zul Amirul Sidi (kiri). - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

“Walaupun tiada sasaran namun kita mahu mereka mampu memecahkan rekod serta melayakkan diri ke Tokyo 2020.

“Kita harapkan kejutan dari acara renang dan olahraga,” kata King pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya INAS Global Brisbane 2019 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias.

Kontinjen Malaysia menghantar 12 atlet mengambil bahagian membabitkan olahraga (5), renang (5) dan ping pong (2).

Berita Harian X