Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:32pm

Haiqal, Nur Aliyah kuasai 200m temasya SIPMA 2019

BANGI: Jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi yang mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) meraih pingat emas acara 200 meter temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sini semalam.

Peraturan pertandingan yang membenarkan atlet kebangsaan hanya bertanding dalam satu acara individu jelas memudahkan Haiqal tanpa dicabar oleh raja pecut SIPMA, Muhammad Aqil Yasmin dan pemegang rekod kebangsaan 100 meter, Khairul Hafiz Jantan.


Muhammad Haiqal Hanafi memenangi acara 200 meter lelaki di Stdium UKM, Bangi, hari ini.

Haiqal yang mempunyai catatan peribadi terbaik 21.20 saat yang dirakamkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan minggu lalu, semalam mencatat masa 21.54 saat, namun gagal melepasi sasaran peribadinya, 21.26 saat

Pingat perak dimenangi rakan sepasukan dari MSSM, Abdul Wafiy Roslan dengan catatan masa 21.92 saat manakala gangsa pingat milik Ku Amir Saywan Ku Sharif dari kontinjen Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan 22.32 saat.


Nur Aliyah Ab Rahman memenangi acara 200 meter wanita di Stadium UKM, Bangi, hari ini.

Bagi acara wanita, emas menjadi milik pelari pecut remaja negara, Nur Aliyah Ab Rahman yang mewakili MSSM dengan catatan masa 25.31 saat manakala perak dimenangi pelari MSSM, Chelsea Cassiopea (25.34 saat) dan gangsa oleh S Shameta Juana Raj dari MASISWA (26.63 saat).

Sementara itu, MSSM terus unggul menguasai acara olahraga apabila menambah tujuh lagi pingat emas semalam untuk 15 keseluruhan setakat ini.


Haiqal dan Nur Aliyah memperagakan pingat emas yang dimenangi bagi acara 200 meter di Stadium UKM, Bangi, hari ini.

926 dibaca
Berita Harian X