Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:47pm
Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail sasar hatrik di Filipina. - NSTP/Yazit Razali

Hakimi sasar hatrik di Filipina

 

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail kini dalam fasa memperbaiki prestasi diri dalam misinya mempertahankan pingat emas acara berkenaan di temasya Sukan SEA Filipina nanti.

Atlet dari Perak itu menegaskan dia masih berusaha mendapatkan jarak sekurang-kurangnya melebihi 16.50 meter (m) sebelum ke Filipina bermula 30 November hingga 11 Disember ini.

Jika Hakimi berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bermakna Manila bakal menjadi saksi kemenangan hatrik dicipta atlet berkenaan.

“Pertamanya, sasaran saya adalah untuk mengekalkan pingat emas di Filipina nanti, dan jika dapat lakukan rekod ia adalah satu bonus. Saya hanya pergi bertanding dan berikan aksi terbaik. 

“Lagipun saya baru saja tukar jurulatih, segala-galanya baru tetapi prestasi agak memberangsangkan. Tapi saya masih cuba memperbaiki catatan terbaik semusim dan harap dapat cipta lompatan melebihi 16.50m sebelum ke Sukan SEA,” kata pemegang rekod kebangsaan itu.

Ketika di KL2017, Hakimi menghadiahkan emas buat negara sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan dan juga rekod temasya miliknya selepas melakukan lompatan 16.77m. 

Rekod temasya sebelum ini iaitu 16.76m juga milik Hakimi dicipta di Sukan SEA Singapura pada 2015 ketika memenangi pingat emas.

Berdasarkan laman web Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), atlet berusia 28 tahun itu kini mendahului ranking teratas Asia Tenggara dengan jarak 16.32m direkodkan di Chongqing, China pada Jun lalu.

Ranking kedua milik Pratchaya Tepparak dari Thailand dengan catatan 16.27m dan ketiga Mark Harry Diones dari Filipina (16.27m) dengan mereka memiliki jarak lompatan sama, namun dibezakan bantuan angin.

Diones dan Tepparak adalah pemenang pingat perak dan gangsa ketika KL2017.

442 dibaca
Berita Harian X