Khamis, 13 Jun 2019 | 9:15am
Atlet marathon Kenya, Felix Kirwa. - Foto IAAF

Kenya gantung Kirwa angkara guna racun tikus

NAIROBI: Atlet marathon Kenya, Felix Kirwa digantung selama sembilan bulan selepas positif menggunakan strychnine - suatu bahan yang kadangkala digunakan dalam racun tikus.

Unit Intergriti Olahraga (AIU) dalam kenyataannya berkata, Kirwa akan menjalani penggantungan sehingga 14 November depan manakala kemenangannya di tempat kedua Marathon Singapura Disember lalu dibatalkan.

Kirwa, yang muncul juara Marathon Singapura pada 2016 berkata, dia hanya mengambil ubatan herba tetapi tidak sedar ia mengandungi bahan terlarang manakala AIU mengesahkan keterangan atlet wanita berkenaan konsisten dengan kenyataan yang diberikan ketika sesi soal siasat.

Strychnine adalah bahan larangan yang termasuk dalam senarai Agensi Anti Doping Dunia kerana ia sejenis bahan perangsang.

Pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, ia lazimnya digunakan dalam dos kecil untuk meningkatkan prestasi atlet.

Kenya yang terkenal sebagai negara yang banyak melahirkan jagoan larian jarak jauh dan jarak sederhana, teruk terpalit dengan bilangan kes melanggar peraturan dadah antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Sejak lima tahun lalu, kira-kira 50 atlet Kenya digantung termasuk bekas juara Marathon Boston dan Chicago, Rita Jeptoo dan juara marathon Olimpik 2016, Jemima Sumgong.

Juara dunia tiga kali acara 1,500 meter yang juga pemenang pingat emas Olimpik 2006, Asbel Kiprop turut digantung selama empat tahun bermula April lalu selepas gagal ujian doping yang dilakukan pada November 2017. - Reuters

930 dibaca
Berita Harian X