Isnin, 13 Mei 2019 | 11:26am
Atlet pecut muda negara, Muhamamd Azeem Mohd Fahmi (tengah) bersama bapa, Mohd Fahmi Tajuid (kanan) dan jurulatih, Mohd Amir Izwan ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat. - Foto Effendy Rashid

Bapa restui Azeem ke AS selepas SPM

KUALA LUMPUR: Mohd Fahmi Tajuid iaitu bapa kepada atlet pecut negara, Muhammad Azeem menyatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menawarkan anaknya itu berlatih di Amerika Syarikat (AS) bagi membantu meningkatkan prestasinya.

Mohd Fahmi berkata, ia adalah antara tiga tawaran yang dikemukakan kepada Azeem yang digelar ‘Azeem Bolt’ termasuk berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan kekal berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, Perak.

“Saya dan keluarga setuju menerima ketiga-tiga tawaran itu tetapi untuk tawaran latihan ke AS, kami membuat keputusan agar Azeem perlu habiskan Tingkatan Lima terlebih dahulu dan Azeem pun setuju perkara ini.

“Ini bagi membolehkan Azeem matang selain membolehkan persiapan dibuat,termasuklah latihan dan pembelajaran,” kata Fahmi yang juga Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hal Ehwal Murid, Bagan Datuk, Perak, ketika dihubungi BH Sukan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi tempoh seminggu kepada Azeem untuk menyatakan pendiriannya ke atas tiga tawaran yang dikemukakan oleh KBS bagi membantu meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

Tiga tawaran berkenaan adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil sambil diberikan segala kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atau kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut pilihan sendiri.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata AS dipilih kerana negara itu bukan saja bagus daripada latihan dan pertandingan malah menyediakan kemudahan sistem pendidikan yang baik untuk masa hadapan Azeem.

“Mengenai tawaran ke Bukit Jalil pula, Azeem sedang memberikan tumpuan untuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini, tapi disebabkan dia sudah diserap ke skuad pelapis kebangsaan dia perlu berlatih di Bukit Jalil.

“Tetapi atas keperluan semasa, MSN tiada halangan untuk Azeem meneruskan latihan di Ipoh tetapi untuk tahun depan, Azeem masih diberikan pilihan sama ada mahu menjalani latihan di Bukit Jalil, atau pun kekal berlatih di Ipoh.

“MSN menyatakan mereka akan terus berikan komitmen dan membantu Azeem dari semua aspek dan memantau Azeem daripada sudut latihan dan sebagainya sebagai atlet pelapis kebangsaan,” kata Fahmi yang memiliki Lesen B Kejurulatihan Bola Sepak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pernah bergelar ketua jurulatih pasukan Liga Kementerian Pendidikan (KPM) Perak.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

1635 dibaca
Berita Harian X