Khamis, 9 Mei 2019 | 1:59pm
MUHAMAMD Azeem Mohd Fahmi. - Foto Effendy Rashid

'Azeem Bolt' perlu pendedahan di luar negara

KUALA LUMPUR: Jangan biarkan Muhammad Azeem Mohd Fahmi terperuk dan diperam hingga menjadi ‘pekasam’ dalam negara jika mahu dirinya setanding dengan juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Itu saranan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa yang menegaskan pelari berusia 15 tahun itu perlu mendapat pendedahan di luar negara supaya bakatnya lebih berkembang.

Sadek berkata, pelan jangka pendek membabitkan masa selama 36 bulan perlu dirangka sehingga atlet yang digelar ‘Azeem Bolt’ itu layak menyertai kejohanan bertaraf dunia.

“Walaupun Azeem diserap ke Bukit Jalil, dia tetap perlu diberikan pendedahan berkala di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) atau Eropah. Dia tak boleh terperuk di Malaysia.

“Paling baik di England ke rana di sana sudah melahirkan pelari pecut remaja selain ekosistem latihan olahraga di sana adalah fleksibel, dapat me nyesuaikan antara atlet olahraga dan sistem pembelajaran,” kata Sadek mengulas mengenai kepentingan menghantar Azeem ke luar negara.

Menurutnya, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu merangka pelan jangka masa dalam tempoh tiga tahun bagi memastikan dia bergelar juara remaja dunia seperti Lalu.

Teknologi terkini “Kita perlu mengambil contoh Lalu apabila dia menang gelaran dunia pada usia 18 tahun. Lalu sendiri pun pernah menjalani latihan di AS sebelum bergelar juara remaja dunia,” tambahnya.

Sadek bagaimanapun bersetuju dengan segala perancangan buat Azeem perlu dilakukan selepas selesai Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), atau bermula tahun hadapan jika mahu mencapai kejayaan seperti Lalu pada usia muda.

“Latihan di luar negara turut membolehkan Azeem menerima teknologi terkini, pemulihan kecederaan, me nguasai bahasa Inggeris dan menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi seperti jaguh basikal Azizulhasni Awang,” katanya.

Sebelum ini BH Sukan melaporkan Malaysia kini mempunyai permata paling bernilai apabila Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) selepas melakukan catatan masa 21.24 saat pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor baru-baru ini.

Justeru, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengumumkan pihaknya sudah menyerapkan Azeem ke dalam skuad pelapis kebangsaan, kelmarin.

632 dibaca
Berita Harian X