Rabu, 8 Mei 2019 | 1:47pm
GAMBAR fail, Zaidatul Husniah Zulkifli ketika beraksi dalam acara 100M wanita peringkat saringan di Cararra Stadium sempena Sukan Komanwel 2018. - Foto Yazit Razali

Berat badan Husniah bertambah

KUALA LUMPUR: Ketika atlet lain sudah mula bertanding dan mendapatkan catatan masa dalam acara masing-masing, berbeza pula Zaidatul Husniah Zulkifli yang gigih berjuang menambah jisim tubuh.

Husniah yang kini menjalani latihan di luar negara bersama rakan senegara, Jonathan Nyepa dan jurulatih, M Balamurugan, dilaporkan sudah mencapai peningkatan berat badan sekali gus memberi petanda positif untuk peningkatan prestasinya.

Jika pada tahun sebelum ini, berat badan ratu pecut itu dikatakan hanyalah sekitar 41 kilogram (kg), kini berat badan Husniah sudah meningkat kepada 44kg.

"Jurulatih serta pakar pemakanan di sini sedang bekerja untuk meningkatkan biomekanik Husniah dan berat badan dia sudah bertambah kepada 44kg.

"Kalau tahun lalu, berat badan Husniah hanyalah 41kg. Kita sasarkan untuk dapatkan 45kg dan kini berat badan Husniah sudah capai 44kg," kata jurulatih negara, Balamurugan kepada BH Sukan ketika dihubungi.

"Saya harap pada bulan puasa ini, berat badan Husniah tidak turun kerana puasa di sini agak lama.

Sebelum ini media tempatan melaporkan Jonathan dan Zaidatul Husniah berpeluang mengikuti latihan selama 10 bulan di Winners Circle Athetics di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), atas tajaan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Mereka tiba di AS pada 27 Februari lalu dan dijangka menamatkan latihan pada Oktober ini.

Mengulas lanjut, Balamurugan menjelaskan Husniah dijadual mula bertanding dalam acara 100 meter (m) dan 200m dalam satu kejohanan di Jamaica pada 8 Jun ini.

 

817 dibaca
Berita Harian X