Rabu, 8 Mei 2019 | 1:06pm
PELARI muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal menikmati tiga keistimewaan selepas kini sah bergelar atlet pelapis kebangsaan. - Foto Effendy Rashid

'Azeem Bolt' dapat rezeki Ramadan

KUALA LUMPUR: Pelari muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal menikmati tiga keistimewaan selepas kini sah bergelar atlet pelapis kebangsaan.

"Sebagai atlet pelapis, Azeem layak menerima elaun sebanyak RM500 sebulan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Selain itu, dia juga dapat menyertai lebih banyak kejohanan di dalam negara di bawah pelapis dan ia lebih fleksibel. 

"Azeem juga berpeluang ke kejohanan luar negara sebagai pendedahan seperti kejohanan terbuka kerana MSN boleh menghantar sesiapa saja," kata Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin kepada BH Sukan.

Mengulas lanjut, Jefri menjelaskan, sebagai pelapis kebangsaan, Azeem juga layak mendapat rawatan penuh di Institut Sukan Negara (ISN) seperti kemudahan fisiologi di Bukit Jalil.

Terdahulu, Azeem dari Perak yang kini berusia 15 tahun sah diserapkan ke skuad pelapis kebangsaan, dan ia diumumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ia selepas pertemuan bersama bapa atlet muda itu, Mohd Fahmi Tajwid, 50, pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat yang juga Sekolah Sukan Negeri (SSN) bersama ISN dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Sejurus ke skuad pelapis, prestasi dan perkembangan Muhammad Azeem akan dipantau oleh ISN dan Majlis Sukan Negeri dan Azeem dibenarkan berlatih di SMK Gunung Rapat di bawah pengawasan jurulatihnya sendiri.

Selain itu, jurulatihnya juga ditawarkan menyertai program jurulatih pelapis kebangsaan.

"Oleh kerana dia (jurulatih) seorang guru, kita akan lihat jika ada jawatan jurulatih sepenuh masa di SMK Gunung Rapat terlebih dulu dan jika ada jawatan itu akan ditukarkan.

"Jika Azeem sudah bersedia berpindah ke Bukit Jalil, kita akan lihat keperluan di Bukit Jalil pula dan dia (jurulatih) akan mendapat gaji seorang guru serta elaun sebagai jurulatih (bergantung kepada kelulusan)," kata Jefri.

Sebelum ini BH Sukan melaporkan Malaysia kini mempunyai permata paling bernilai apabila Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m).

Ia berdasarkan kajian terperinci dilakukan oleh ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif yang menyifatkan pencapaian Azeem itu adalah antara terbaik di dunia sepanjang zaman.

Menurutnya, catatan masa 21.24 saat (s) yang dilakukan atlet dari Perak dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor baru-baru ini meletakkannya sebagai remaja terpantas di dunia.

 

 

1549 dibaca
Berita Harian X