Selasa, 7 Mei 2019 | 6:24pm

'Pemilihan ke skuad pelapis satu bonus'

IPOH: Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menganggap pemilihan ke dalam skuad pelapis kebangsaan sebagai satu rezeki dan bonus bagi dirinya yang masih remaja. 

"Pertamanya saya sangat bersyukur dan tidak menyangka boleh sampai ke tahap ini. Pada usia saya ketika ini, dapat memasuki ke peringkat skuad pelapis itu adalah satu pencapaian sangat membanggakan dan saya sangat gembira," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini, hari ini. 

Ditanya sama ada pencapaian yang menjadi tumpuan negara selain liputan berterusan memberinya tekanan, Azeem berkata setakat ini semua perkara berkenaan tidak memberikan tekanan kepadanya dan masih boleh diuruskan dengan baik. 

"Bagi diri saya sendiri tidak ada tekanan, saya masih boleh menguruskan apa yang perlu saya uruskan dan apa yang saya perlu saya lakukan dan fikirkan buat masa sekarang. 

"Meskipun (dipilih) di bawah skuad pelapis kebangsaan, tidak ada apa sangat yang perlu ditekankan lagi setakat ini kerana apa yang penting adalah perlu memberi fokus pada latihan dan pertandingan akan ditempuhi dalam jangka masa terdekat. 

"Insya-Allah selepas Hari Raya nanti saya akan menyertai Kejohanan Balapan Sekolah ASEAN di Indonesia bagi kategori bawah 18 tahun," katanya. 

Mengenai tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sama ada memilih untuk mengikuti latihan di luar negara, Bukit Jalil atau terus kekal di Perak, Azeem berkata setakat ini dia masih belum memikirkan tawaran berkenaan. 

Katanya, apa yang menjadi keutamaan adalah kekal di Perak bagi menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan berharap akan mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan itu nanti. 

Dalam pada itu, jurulatih Azeem, Mohd Amir Izwan, berkata dia gembira dan berpuas hati dengan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) mengekalkan Azeem di SMK Gunung Rapat sehingga akhir tahun ini bagi membolehkan anak didiknya itu memberikan fokus terhadap peperiksaan PT3. 

Katanya, daripada aspek latihan, Azeem masih kekal menjalani latihan seperti biasa membabitkan tujuh sesi seminggu dengan setiap sesi latihan selama dua jam.

Jelasnya, dua sesi latihan dijalankan pada sebelah pagi manakala lima sesi pada sebelah petang dan pada Ramadan latihan hanya membabitkan sesi petang. 

"Fokus latihan ketika ini adalah sehingga hujung tahun dan untuk tahun berikutnya bergantung kepada Azeem, tetapi dia disarankan mengikuti latihan di Bukit Jalil," katanya yang turut ditawarkan mengikuti program di bawah program jurulatih pelapis kebangsaan oleh MSN. 

Katanya, pencapaian dicipta Azeem itu adalah sesuatu agak luar biasa dan disebabkan itu tumpuan perlu diberikan kepada Azeem, malah MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) turut mengambil berat dan fokus terhadap pencapaian dilakukan pelajar tingkatan tiga itu.

1052 dibaca
ATLET pecut muda negara, Muhamamd Azeem Mohd Fahmi ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat. - Foto Effendy Rashid
Berita Harian X