Selasa, 7 Mei 2019 | 6:08pm
PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (kiri) mengadakan Mesyuarat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - Foto Rosela Ismail

Kaji semula latihan Irfan di luar negara

 

KUALA LUMPUR: Hasrat atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk terus menjalani latihan di luar negara dilihat berada dalam situasi 'sukar'.

Ia berikutan persetujuan awal bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), Irfan perlu mencapai sasaran di Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut mengenai keperluan Irfan menjalani latihan di luar negara selepas ini.

"Kita akan berbincang dengan lebih lanjut mengenai keperluan sama ada Irfan perlu diberi pendedahan di luar negara ataupun tidak.

"Memandangkan dalam persetujuan awal kita dengan Irfan bersama pihak persatuan, Irfan perlu mencapai sasaran di kejohanan Olahraga Asia yang lalu, tapi dia gagal," kata Jefri pada sidang media di MSN, hari ini.

Mengulas lanjut, Jefri menegaskan ia perlu disemak memandangkan ada atlet yang menjalani latihan di Malaysia tetapi dapat menghasilkan keputusan lebih baik.

"Kita akan lihat balik, berbincang dengan jurulatih dan persatuan sama ada perlu atau tidak kita hantar. Ini sebab kita rasakan sesetengah atlet yang tidak kita hantar contohnya Lee Hup Wei (lompat tinggi) yang berlatih di sini, menunjukkan prestasi begitu memberangsangkan. 

“Jadi kita harap ia dapat dipertimbangkan dalam Mesyuarat JKK akan datang," katanya.

Sebelum ini BH Sukan melaporkan MSN kecewa dengan prestasi ditampilkan Irfan di Doha dengan sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan, berbanding meraih perak pada kejohanan sama dua tahun lalu di India.

Malah media tempatan turut melaporkan KOM juga tidak berpuas hati dengan pencapaian atlet berkenaan yang hanya membuat balingan 55.18 meter (m), sekali gus akan menilai semula mengenai status latihan atlet berkenaan.

 

 

385 dibaca
Berita Harian X