Selasa, 7 Mei 2019 | 4:23pm

'Usain Bolt Malaysia' diserap ke skuad pelapis kebangsaan

IPOH: Atlet muda pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 15, kini sah diserapkan ke dalam skuad pelapis kebangsaan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas mengadakan pertemuan bersama bapa atlet muda itu, Mohd Fahmi Tajwid, 50, pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat yang juga Sekolah Sukan Negeri (SSN) bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

 Ahmad Shapawi berkata, apabila diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan, prestasi dan perkembangan Azeem yang digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ akan dipantau oleh ISN dan Majlis Sukan Negeri.

“Untuk sementara waktu ini, kita akan membenarkan Azeem terus berlatih di SMK Gunung Rapat di sini di bawah pengawasan jurulatihnya sendiri, malah jurulatihnya juga ditawarkan di bawah program jurulatih pelapis kebangsaan.

“Kalau ikutkan, pada asasnya jika sudah diserapkan ke skuad pelapis kebangsaan, dia (Azeem) kena ikuti program di Bukit Jalil, tapi kita tumpukan Azeem untuk terus berlatih di sini sesuai dengan permintaannya kerana dia akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


ATLET pecut muda negara, Muhammad Azeem bersama jurulatihnya Mohd Amir Izwan (kiri). - Foto Effendy Rashid

Ditanya sama ada tiga tawaran yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini turut dibincangkan pada pertemuan itu, Ahmad Shapawi berkata, perkara itu tidak menjadi fokus perbincangan.

"Belum lagi ada perbincangan tapi kita cari beberapa pilihan dan cadangan serta tidak perlu tergesa-gesa. Yang penting sekarang ini adalah Azeem perlu fokus dengan peperiksaan PT3 tahun ini, untuk tugasan sukan, dia ada beberapa pilihan lagi tetapi tumpuan adalah terhadap peperiksaan terlebih dahulu dan apa-apa pun ia hanya bermula dari tahun hadapan dan seterusnya baru kita akan bergerak," katanya.

Pada pertemuan itu, Ahmad Shapawi turut meninjau kemudahan yang terdapat di sekolah sukan berkenaan dan setakat ini beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan termasuk membabitkan trek olahraga yang digunakan untuk Azeem menjalani latihan.

Dalam pada itu, Mohd Fahmi berkata, beliau bersyukur apabila anaknya diserap ke dalam skuad pelapis kebangsaan dan akan menerima manfaat sebagaimana diterima atlet lain yang menyertai program itu.


Muhammad Azeem kini sah diserapkan ke dalam skuad pelapis kebangsaan. - NSTP/Effendy Rashid

"Pertemuan yang berlangsung bersama MSN, pengurusan sekolah serta JPN itu positif dan memberikan input dan gambaran jelas kerana sebelum ini saya hanya mendengar secara lisan.

"Yang memang kita nampak, semua pihak sama ada MSN, ISN , Majlis Sukan Negeri semuanya sangat komited membantu dan memantau perkembangan Azeem dan saya lihat ia terus ke arah lapangan.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Azeem sememangnya selesa untuk terus berada di sini (SMK Gunung Rapat) sehingga akhir tahun ini dan MSN tiada masalah serta akan terus membantu dan diharapkan perkembangan itu akan turut membantu rakannya yang lain di sekolah ini berkongsi manfaatnya," katanya.

Katanya, sebagai bapanya beliau juga lega kerana keputusan yang dibuat adalah yang terbaik buat Azeem.

2015 dibaca
Berita Harian X