Ahad, 31 March 2019 | 8:44pm
GAMBAR fail, Muhammad Hakimi Ismail ketika beraksi dalam acara Lompat kijang untuk pingat emas pada kejohanan olahraga Terbuka Selangor di Stadium Universiti Malaya pada 2017. - Foto Osman Adnan

Kepenatan buat prestasi Hakimi 'koyak'

KUALA LUMPUR: Tiga kejohanan yang disertai dalam tempoh lapan hari tidak merencatkan persembahan Muhammad Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang di kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, hari ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Hakimi meraih pingat perak selepas melakukan lompatan sejauh 16.16 meter (m) dengan jarak itu dicipta pada percubaan terakhir.

Pingat emas dan gangsa acara ini masing-masing menjadi milik atlet dari Korea Selatan, Jin Souk Sung dengan catatan 16.18m manakala Suhwan Nam (15.35m).

“Kali ini saya lakukan benda yang tidak pernah buat sebelum ini iaitu sertai tiga kejohanan dalam tempoh satu minggu (Australia, Singapura dan Malaysia).

“Saya akui memang agak penat di sini. Saya hanya sertai kejohanan dan minggu ini tidak ada latihan tapi saya tetap mendapat saingan dari atlet Korea,” kata Hakimi ketika ditemui.

Pemegang rekod kebangsaan dan juga pemenang emas temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjelaskan antara tujuan dia berbuat demikian adalah tidak mahu terasa rugi selain mahu menguji diri sendiri.

“Saya risau juga akan kecederaan tapi setakat ini semuanya baik. Kalau saya rasa lain macam ketika lakukan larian, mungkin saya akan berhenti,” katanya.

Untuk rekod, pada Sabtu lalu, Hakimi merangkul pingat emas dalam Kejohanan Trek Klasik Queensland yang berlangsung di Australia selepas mencatatkan jarak lompatan sejauh 16.47m.

Hakimi kemudian memenangi emas di Kejohanan Trek dan Balapan Singapura 2019 dengan catatan 16.01m yang berlangsung tiga hari lalu (Khamis).

Disoal mengenai antara fokus peribadi tahun ini, Hakimi menjelaskan dia ingin mendapatkan pingat dalam Kejohanan Olahraga Asia di Doha pada April.

“Saya sasarkan untuk mendapatkan pingat di Kejohanan Olahraga Asia kerana saya tak pernah memenangi pingat walaupun sudah dua kali mengambil bahagian,” katanya.

Berita Harian X