Isnin, 11 Februari 2019 | 2:19pm
Hup Wei mahu merangkul pingat emas acara lompat tinggi lelaki di Sukan SEA Filipina, hujung tahun nanti. - Arkib NSTP

Hup Wei buru slot ke Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Layak secara merit ke Kejohanan Dunia IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa) di Doha, Qatar, September depan antara misi utama Lee Hup Wei.

Meskipun belum pernah mencapai ketinggian lompatan 2.30m, yang menjadi standard kelayakan ditetapkan IAAF ke Doha, namun Hup Wei percaya dia mampu berbuat demikian.

Selain itu, atlet berusia 32 tahun ini juga mahu merangkul pingat emas acara lompat tinggi lelaki di Sukan SEA Filipina, hujung tahun nanti.

Ia bagi menebus kekecewaan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila sekadar meraih pingat perak selepas tewas menerusi kiraan semula kepada Nauraj Singh Randhawa.

Ketika itu mereka sudah melepasi percubaan 2.24m, namun Nauraj dinobatkan selaku juara selepas kiraan semula, sementara pingat perak menjadi milik Hup Wei.

"Kali ini saya mahu layak sertai Kejohanan Dunia di Doha secara merit. Saya tak pernah sertainya secara merit jadi saya cuba cipta sejarah untuk diri sendiri.

"Tahun ini saya dijadual menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka Perak, Terbuka Filipina dan Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha.

"Saya juga kena layak untuk sertai Sukan SEA kerana saya mahu memenangi pingat emas," kata Hup Wei.

Hup Wei merekodkan pencapaian terbaik peribadi dengan catatan 2.28m ketika beraksi di Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia, tahun lalu.

386 dibaca
Berita Harian X