Jumaat, 8 Februari 2019 | 8:29pm
JAGUH pecut negara, Jonathan Nyepa (tengah). - Foto Yazit Razali

Jonathan, Husniah dicabar layak ke Doha

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli 'dicabar' untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa) di Doha, Qatar, September depan.

Jurulatih kebangsaan, M Balamurugan berkata, jika perkara itu berlaku bermakna mereka akan mencipta sejarah menjadi atlet kebangsaan yang pertama ke kejohanan itu secara merit.

"Jadi saya harap mereka dapat layak secara merit ke Kejohanan Dunia selain menggunakan peluang yang ada untuk membaiki catatan masa.

"Jika ia berlaku ia akan menjadi satu perkara yang membanggakan," kata Balamurugan, ketika dihubungi.

Berdasarkan standard kelayakan ditetapkan IAAF di Kejohanan Dunia, Doha, acara 100m perlu mencatatkan kepantasan 10.10s (lelaki) dan 11.24s (wanita) manakala acara 200m pula memerlukan catatan masa 20.40s (lelaki) dan 23.02 (wanita).


Atlet pecut negara, Zaidatul Husniah. - Foto Osman Adnan

Sebelum ini media tempatan melaporkan Jonathan dan Zaidatul Husniah berpeluang mengikuti latihan selama 10 bulan di Winners Circle Athetics di Atlanta, Amerika Syarikat, atas tajaan penjana kuasa bebas (IPP) Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Jumlah tajaan diterima sebanyak RM375,000, iaitu bagi membolehkan kedua-dua atlet berkenaan membuat persedian bagi menghadapi tiga kejohanan utama – pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kejohanan Asia di Doha, Qatar, April ini dan Sukan SEA Filipina 2019 pada November ini.

Pada masa sama, Balamurugan menjelaskan dia meletakkan sasaran agar anak didiknya itu dapat memenangi pingat dalam mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa yang disertai selepas ini.

"Saya juga sasar agar kedua-dua atlet ini membawa pulang pingat dari Sukan SEA Filipina 2019,” katanya.

 

 

668 dibaca
Berita Harian X