Jumaat, 4 Januari 2019 | 7:13pm
Ridzuan melakar beberapa kejayaan menakjubkan tahun lalu apabila memecah rekod dunia di Sukan Para Asia, Oktober lalu dalam acara 100 m T36 (celebral palsy) selain memecahkan rekod Asia dalam acara lompat jauh dalam laluannya memenangi tiga pingat emas. - Arkib NSTP

Kejayaan Ridzuan jadi batu loncatan

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga para kebangsaan, R Jaganathan berharap kejayaan Mohamad Ridzuan Puzi menggondol anugerah Atlet Para Lelaki Asia Terbaik 2018 menjadi lonjakan semangat buat atlet muda negara.

Kejayaan atlet kelahiran Perlis itu pada majlis khas di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Februari depan akan mengukuhkan kedudukannya selaku antara atlet paling berjaya di Malaysia selepas cemerlang dalam acara pecut dan lompat jauh sepanjang tahun lalu.

“Saya berharap ia akan menjadi batu loncatan buat atlet lain dengan melihatnya sebagai contoh kerana dalam (sukan) para, kami berada di tahap yang berlainan dan berharap untuk mencapai lebih kejayaan di peringkat antarabangsa,” kata Jaganathan yang turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara atas kejayaan diraih anak didiknya itu.

Ridzuan, 31, melakar beberapa kejayaan menakjubkan tahun lalu apabila memecah rekod dunia di Sukan Para Asia, Oktober lalu dalam acara 100 meter (m) T36 (celebral palsy) selain memecahkan rekod Asia dalam acara lompat jauh dalam laluannya memenangi tiga pingat emas.

“Tiada siapa menjangkakan pingat emas di Jakarta tetapi saya secara peribadi merasakan dia (Ridzuan) mampu melakukannya kerana kami melihat Allahyarham Mohammad Azlan (Mat Lazin) menciptanya di Sukan Para Asia 2014 di Incheon dan saya tahu dia boleh menanganinya.

“Semua kerja keras kami dibalas dengan keputusan hebat dan saya berharap beberapa lagi (atlet para) akan mengikuti jejak langkahnya selepas ini,” kata Jaganathan.

Bagi acara 100m, Ridzuan memecahkan rekod dunia yang sebelum ini dipegang atlet Russia, Evgenii Shvetcov dengan melakukan catatan baharu 11.87 saat di Jakarta.

Dia turut memecahkan rekod Asia dalam acara lompat jauh dengan melakukan lompatan sejauh 5.49 meter untuk mengatasi rekod atlet China, Yang Yi Fei yang sebelum ini merekodkan 5.45 meter.

Sementara itu, Jaganathan yang sudah melatih Ridzuan sejak 10 tahun lalu melihat pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018, Nasharuddin Mohamad dan pemenang pingat emas di Sukan Para Komanwel 2018, Muhd Afiz Moamad Ali Hanafiah sebagai berpotensi untuk menjadi atlet berkelas dunia.

576 dibaca
Berita Harian X