Ahad, 18 November 2018 | 8:30pm
KUARTET yang diketuai pelari pecut terbaik negara, Khairul Hafiz Jantan mengungguli acara 4x100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Innotex yang berlangsung di Bukit Jalil, hari ini. - Foto ZULFADHLI ZULKIFLI

The Speedy Jantan, rakan tepati ramalan

KUALA LUMPUR: Kuartet yang diketuai pelari pecut terbaik negara, Khairul Hafiz Jantan menepati ramalan apabila mengungguli acara 4x100 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Innotex yang berlangsung di Bukit Jalil hari ini.

Turun selaku pelari kedua, Khairul Hafiz yang dikenali dengan panggilan The Speedy Jantan mudah mengemudi larian untuk membantu kuartet SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) A meraih pingat emas dengan catatan 40.42 saat (s).

Kuartet SSTMI yang turut dianggotai Luqmanul Hakim Khairul Akmal sebagai pelari pertama, Haiqal Hanafi pelari ketiga dan Muhammad Zulfiqar Ismail terakhir menewaskan rakan sepelatih, kuartet SSTMI C untuk perak (41.34s) dan SSTMI B gangsa (41.97s).

Biarpun hanya dua minggu berlatih bersama, Khairul Hafiz berkata, bukan satu masalah bagi dirinya untuk berlari bersama dengan siapa saja kerana dia  tetap akan berusaha memberikan yang terbaik.

Namun, katanya catatan 40.42s yang direkodkan itu memberangsangkan dan yakin andai lebih banyak peluang diberikan, catatan lebih baik dapat dilakukan.

"Jika diberi peluang mungkin kuartet ini boleh pergi lebih jauh lagi. Ini pertama kali kuartet ini dibentuk dan masa yang dicatatkan juga agak baik.

"Bagaimanapun, saya sudah biasa berlari bersama Haiqal dan Zulfiqar tapi nampaknya Luqmanul juga tiada masalah untuk menyesuaikan diri," katanya.

Bagi Luqmanul yang pertama kali bergandingan bersama Khairul Hafiz dalam acara 4x100m itu berkata, dia gembira diberi peluang oleh jurulatih Mohd Poad Md Kassim untuk beraksi bersama barisan pelari terbaik negara.

"Saya bangga diberi peluang bergandingan bersama pelari pecut terbaik negara berdasarkan catatan terbaik masing-masing.

"Jadi, ia juga mendorong saya memberikan yang terbaik tapi jika masa dicatatkan tidak memuaskan, saya tahu ini bukan waktu tepat kerana kami sudah memasuki tempoh 'berehat'," katanya yang sebelum ini beraksi dalam acara 400m.

1210 dibaca
Berita Harian X