Jumaat, 16 November 2018 | 6:53pm
Atlet Selangor, Muhammad Ilham Suhaimi (tiga kiri) ketika memenangi acara 400 meter lelaki pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Ilham enggan tukar acara pecut

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas 400 meter Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, Ilham Suhaimi tidak meletakkan sebarang sasaran apabila turun beraksi pada Kejohanan Terbuka Innotex di Bukit Jalil bermula esok.

Ia kerana pelari dari Selangor itu hanya akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m dan bukannya acara kegemarannya 400m.

Menurutnya, penyertaan pada Terbuka Innotex itu adalah untuk memastikan rentak lariannya terus konsisten.

Malah dia sendiri tidak pernah terfikir untuk menukar ke acara pecut sekiranya berjaya menewaskan pelari terkemuka seperti Khairul Hafiz Jantan, Zulfiqar Ismail dan Haiqal Hanafi.

“Memang jika diikutkan acara 100m ini bukan acara saya. Saya juga tidak pernah berlumba dalam acara 100m sebelum ini

“Perasaan saya juga bercampur baur. Ada rasa gementar tapi saya akan cuba buat yang terbaik untuk rekod catatan terbaik peribadi,” katanya yang lebih selesa disapa dengan panggilan Panjang dalam kalangan rakan.

Pada temasya SUKMA di Ipoh baru-baru ini, Ilham meleburkan rekod berusia 16 tahun dalam acara 400m dengan masa 47.02 saat sekali gus mengatasi rekod 47.34s milik Zaiful Zainal Abidin pada SUKMA Sabah 2002.

Ilham yang turut menyerlah pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN dengan menyumbang tiga emas Julai lalu, kini sudah melepasi syarat kelayakan ke temasya Sukan SEA Manila tahun depan dalam acara 400m.

618 dibaca
Berita Harian X