Ahad, 28 Oktober 2018 | 1:58am
KEVIN Mayer

Mayer, Asher-Smith dipilih Atlet Terbaik Tahunan Eropah

LONDON: Pemegang rekod dunia acara dekatlon, Kevin Mayer dan atlet pecut Britain, Dina Asher-Smith yang juga juara Eropah acara 100m, 200m dan 4x100m dipilih Atlet Terbaik Tahunan Eropah.

Mayer atlet ketiga Perancis memenangi anugerah itu selepas Christophe Lemaitre pada 2010 dan Renaud Lavillenie pada 2014. Dia juga atlet dekatlon pertama terpilih untuk kategori itu selepas Tomas Dvorak dari Republik Czech pada 1999.

Asher-Smith pula atlet wanita keempat Britain memenangi anugerah itu selepas Sally Gunnel pada 1993, Kelly Holmes (2004) dan Jessica Ennis-Hill (2012).

Dia mengatasi pemenang tahun lalu Ekaterini Stefanidi dari Greece dan juara Eropah, dunia dan Olimpik acara heptatlon, Nafissatou Thiam dari Belgium.

Asher-Smith mendominasi acara pecut Kejohanan Eropah di Berlin dan mengetuai kejayaan kuartet 4x100m untuk menjadi wanita ketiga dalam sejarah kejohanan yang memenangi tiga emas acara pecut.

Mayer salah seorang daripada empat atlet dalam senarai akhir bersama juara 200m Eropah dan dunia dari Turki - Ramil Guliyev, juara Eropah 1,500m dan 5,000m dari Norway - Jakob Ingebrigtsen dan juara Eropah acara lompat bergalah dari Sweden - Armand Duplantis.

Dia turut menjuarai acara heptatlon Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham pada awal musim ini dan menamatkan kempennya dengan mencipta rekod baru dunia dengan catatan 9,126 mata yang dilakukan di Talence, September lalu. - REUTERS

69 dibaca
Berita Harian X