Jumaat, 26 Oktober 2018 | 9:09pm
S Komalam Sally - Foto OSMAN ADNAN

Komalam sedia kembali kuatkan kuartet pecut 

 

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, S Komalam Sally tiada masalah untuk kembali bergabung bersama atlet pecut yang lain demi membentuk kuartet 4x100 meter (m) terbaik negara.

Komalam berkata, dia sudah melupakan episod duka yang pernah berlaku kepada dirinya apabila digugurkan sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula.

Biarpun perit untuk menerimanya ketika itu, atlet berasal dari Perak itu tiada masalah untuk kembali bergabung demi negara.

Namun apa yang penting katanya, adalah keserasian dalam satu pasukan dan jangan ada sikap pentingkan diri kerana itu akan merosakkan kekuatan sesebuah pasukan.

“Saya akui perkara itu masih lagi menghantui diri saya. Ada yang minta untuk saya lupakan dan ada yang suruh saya membalas dendam, tapi bagi saya apa yang penting adalah cara untuk saya mengatasi perkara itu.

“Semuanya terpulang pada diri sendiri bagaimana untuk mengatasi masalah mendatang. Jadi bagi saya tiada masalah untuk saya kembali ke dalam kuartet negara kerana ketika inilah masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu,” katanya.

Masih lagi aktif berlari dan berlatih di bawah bimbingan jurulatih Azmi Ibrahim, Komalam berkata, apa yang berlaku banyak memberi pengajaran kepada dirinya untuk menjadi seorang pelari lebih matang.

Mempunyai kelebihan menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, Komalam berkata, tidak mudah untuknya meninggalkan olahraga kerana ia sudah sebati dengan darah dagingnya.

Tahun lalu nama Komalam hangat diperkatakan kerana digugurkan daripada senarai atlet negara ke Sukan SEA kerana krisis dalaman membabitkannya dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Kontroversi mula menghimpit Komalam menjelang 10 hari sebelum bermulanya Sukan SEA apabila digugurkan secara mengejut kerana didakwa tidak menghormati jurulatih.

Ketiadaannya nyata merencatkan rentak larian kuartet 4x100m wanita negara pada KL2017, apabila sekadar menamakan saingan di kedudukan terakhir.

73 dibaca
Berita Harian X