Isnin, 22 Oktober 2018 | 4:41pm
BEKAS pelari pecut negara, Azmi Ibrahim. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Azmi tak minat jurulatih sepenuh masa

KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut negara, Azmi Ibrahim menegaskan beliau tidak berminat untuk menjadi jurulatih sepenuh masa di bawah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia kerana beliau mempunyai komitmen kerja sebagai jurulatih kecergasan kelab bola sepak Liga Singapura, Home United selain pernah menabur bakti bersama kelab Johor Darul Ta’zim.

Bagaimanapun jauh di sudut hatinya, beliau yang pernah menjadi antara pelari pecut utama negara ketika era Watson Nyambek akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada atlet olahraga yang ingin mendapatkan khidmatnya seperti Siti Fatima Mohamad dan S Komalam Shally.

Semuanya kerana jiwanya masih belum dapat melupakan olahraga dan masih cintakan sukan itu dan secara peribadi beliau tiada masalah untuk menghulurkan bantuan.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan dan memang ada hati untuk membantu tapi saya hanya mahu di belakang takbir. Minat masih ada tapi saya tidak mahu terlalu menonjolkan diri kerana masih ada tugas lain.

“Saya pernah berada dalam arena olahraga satu masa dulu. Saya tahu bagaimana politik dalam persatuan dan itu yang saya tidak berapa gemar untuk terbabit secara sepenuh masa,” katanya.

Azmi berkata, ketika ini hanya dua atlet pecut di bawah bimbingannya, Siti Fatima dan Komalam dan belum menimbang untuk melatih lebih ramai atlet.

Ditanya apa yang membuatkan hatinya terbuka melatih dua atlet itu, beliau menjelaskan ia kerana melihat kesungguhan mereka untuk membuktikan kemampuan diri.

“Saya ikhlas mahu membantu mereka. Saya mahu lihat mereka kembali pada Sukan SEA nanti.

“Mereka banyak pengalaman tapi perlukan bantuan dan perhatian yang boleh membantu mereka maju ke depan dan disebabkan itu saya ikhlas membantu tanpa sebarang bayaran,” katanya.

248 dibaca
Berita Harian X