Khamis, 18 Oktober 2018 | 6:57pm
Azmi Ibrahim (atas) kini kembali menggegar arena olahraga sebagai jurulatih. - Foto Hamdan Saaid

Azmi kembali gegar trek

KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut negara era 90-an, Azmi Ibrahim kini kembali menggegar arena olahraga sebagai jurulatih.

Selain membimbing atlet pecut negara Siti Fatima Mohamad dan S Komalam Shally, Azmi turut membuka akademi olahraga bagi mengembangkan ilmu yang dimilikinya.

Nyata kehadiran Azmi memberi kesan kepada atlet pecut seperti Siti dan ia sendiri diakui oleh pelari berusia 32 tahun itu.

Bagi Siti, usia bukan penghalang buatnya untuk terus terbabit dalam sukan itu malah kehadiran Azmi sebagai jurulatih peribadinya memberi kesan mendalam terutama dari segi teknik larian selain program latihan lebih tersusun.

Misi utama Siti adalah untuk melayakkan diri ke temasya Sukan SEA tahun depan dan perlu melepasi catatan 11.7 saat atas kategori B.

“Biarpun tahun ini tidak begitu menyerlah bagi saya tapi saya tidak pernah terlintas untuk bersara dan meninggalkan sukan olahraga.

“Saya mahu terus berusaha dan membuktikan masih mampu untuk menggegar arena sukan negara.

“Kehadiran Azmi banyak membantu dan saya nampak banyak peningkatan dari segi teknik tapi yang pasti ia memerlukan masa,” katanya yang mencatat masa terbaik 12.00 saat tahun ini.

Menurut Siti, dua lagi pertandingan akan disertai iaitu bulan depan di Paroi dan Bukit Jalil.

Siti berkata, dia bersama rakan sepelatih Komalam mula dibimbing Azmi sejak Jun lalu.

Keinginan itu disuarakan oleh Siti selepas melihat perkembangan Azmi di laman sosial Facebook dan Azmi tiada masalah untuk melatih mereka.

110 dibaca
Berita Harian X