Rabu, 17 Oktober 2018 | 7:52pm
GAMBAR fail, pelari waniat negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin ketika beraksi dalam acara akhir 800 meter wanita kelas T20 Sukan Para Asean KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Siti Noor Iasah mahu bersara

 

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan menghadiahkan pingat emas buat negara pada Sukan Para Asia di Jakarta, pelari wanita negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin merancang untuk bersara selepas Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

"Saya mula aktif dalam sukan sejak berumur 16 tahun lagi sampailah sekarang saya sudah berumur 29 tahun.

"Jadi saya rasa biarlah selepas Tokyo saya pencen sebagai atlet sebab nak tumpukan perhatian kepada anak saya (Nur Iman Qaisarah Muhammad Hafiz) dan juga keluarga," katanya kepada NSTP.

Siti yang berasal dari Ulu Tiram, Johor berjaya mencatat 58.69 saat dalam acara 400 meter T20 (masalah pembelajaran) di Jakarta minggu lalu sekali gus membaiki rekod temasya milik pelari Jepun, Mai Iwakiri yang dilakukan pada 2014 di Incheon (1:06.23s).

"Sebenarnya sebelum bersara nanti, kalau boleh saya mahu pecahkan sekali lagi rekod Asia yang sekarang masih milik saya dicatatkan di Sukan Paralimpik 2016 Rio de Janeiro (58.55s)," katanya.

Ketika temasya di Rio dua tahun lalu, Siti berada berkedudukan keempat dan mencatat rekod baru Asia dengan catatan 58.55 saat.

"Buat masa sekarang, daripada segi masa saya masih di kedudukan keempat dunia dan bagi membolehkan saya membaiki atau mengekalkan kedudukan, saya perlulah sertai banyak kejohanan. 

"Kalau ada rezeki saya mahu ke Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai tahun depan untuk melihat prestasi saya," katanya.   

48 dibaca
Berita Harian X