Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:01pm
RIDZUAN membolot empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di Sukan Para Asia Indonesia di Jakarta, hari ini. - Foto BERNAMA
RIDZUAN meraikan kejayaannya dalam acara akhir Lompat Jauh kategori lelaki T36 sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. - Foto BERNAMA
RIDZUAN ketika beraksi pada acara akhir Lompat Jauh kategori lelaki T36 sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. - Foto BERNAMA
RIDZUAN meraikan kejayaannya bersama jurulatih olahraga Para negara, R Jaganathan dalam acara akhir Lompat Jauh kategori lelaki T36 sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. - Foto BERNAMA
NUR Azlia (belakang) bersama rakannya Nurul Suhada Zainal ketika beraksi pada acara akhir individu kejar mengejar 3,000 meter wanita B sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Velodrome Antarabangsa hari ini. - Foto BERNAMA

Dik Wan tuai emas ketiga, lebur rekod lagi

KUALA LUMPUR: Bintang olahraga, Ridzuan Puzi sekali lagi mencuri tumpuan ketika atlet Malaysia membolot empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di Sukan Para Asia Indonesia di Jakarta, hari ini.

Ridzuan yang lebih dikenali dengan kepantasannya dalam acara pecut hari ini menambah koleksi emas dalam acara lompat jauh lelaki T36 dengan catatan rekod baharu kejohanan dan Asia iaitu 5.49 meter (m) di Stadium Gelora Bung Karno.

Atlet Uzbekistan Izzat Turgunov meraih perak dengan lompatan sejauh 5.27m dan Sergey Kharlamov dari Kazakhstan membawa pulang gangsa (4.62m).

Rekod Asia 5.43m sebelum ini dicipta Yang Yifei pada 2016 manakala rekod kejohanan pula dipegang oleh Ridzuan dengan lompatan 5.42m ketika dia memenangi emas acara itu pada Sukan Asia Para Incheon 2014.

Ridzuan, 31, yang lebih mesra dipanggil Dik Wan sebelum ini berjaya memecahkan rekod dunia ketika memenangi acara 100m T36 dan turut menuai emas dalam acara 400m, semalam.

Wong Kar Gee turut beraksi baik untuk meraih perak dalam acara lompat jauh lelaki T12 dengan catatan 7.05m.

Selepas memenangi acara lumba basikal lebuh raya wanita pada awal minggu ini, pelumba negara Nur Azlia Syafinaz membuktikan dirinya sukar ditandingi dengan meraih emas kedua di temasya sukan ini menerusi acara kejar mengejar individu (B) 3,000m di Veldorom Antarabangsa Jakarta.

Atlet tuan rumah, Sri Sugiyanti menduduki tempat kedua manakala rakan senegara Azlia, Nur Syahida Tajudin di tempat ketiga.

Dalam kategori lelaki pula, Mohd Khairul Hazwan Wahab mengesahkan pingat perak dalam acara kejar mengejar individu (B) 4,000m.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Mohd Najib Turano dan Zuhairie Ahmad Tarmizi turut menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam acara pecut berpasukan lelaki C 1-5 di belakang juara dari China. Wakil tuan rumah Indonesia sekadar meraih gangsa.

Dalam acara renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli muncul juara dalam saingan gaya bebas 50m lelaki S5 dengan rekod baru kejohanan 34.09s (rekod lama 35.54s) di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

Abu Bakar Nyat kemudian meneruskan kecemerlangannya dalam kejohanan tenpin boling kali ini bergandingan bersama Mohd Azrin Rahim dan Zahidi Lamsah untuk mengungguli acara trio (campuran) TPB8+TPB8/9+TPB9/10  dengan keseluruhan 2,432 jatuhan pin di Pusat Boling Jaya Ancol.

Pasukan Korea Selatan 'B' dan 'A' pula membawa pulang perak dan gangsa apabila masing-masing mencatat 2,390 dan 2,383 jatuhan pin. Abu Bakar sebelum ini memenangi emas acara perseorangan lelaki TPB9.

Malaysia ketika ini menduduki tangga kelapan keseluruhan dalam senarai kutipan pingat menerusi 13 emas, 18 perak serta 18 gangsa dan hanya perlu mengutip dua emas lagi untuk menyamai sasaran yang ditetapkan. 

China mendahului dengan 129-64-48 manakala diikuti Korea Selatan (43-37-34) dan Iran (38-30-30).

Masih ada baki 30 emas menjadi rebutan pada hari terakhir acara olahraga esok selain 16 emas dalam acara renang dan 12 emas dalam acara catur dengan temasya akan menutup tirai Sabtu ini. 

24 dibaca
Berita Harian X