Isnin, 17 September 2018 | 10:21pm
AKSI Muhammad Aqil Yasmin (dua dari kanan) dari Selangor ketika memulakan saringan 100m di Stadium Perak Ipoh, hari ini. - Foto SUKMA 2018

Pertarungan 3 penjuru rebut Raja Pecut SUKMA

IPOH: Siapakah Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 selepas ketiadaan juara bertahan Khairul Hafiz Jantan akan terjawab di Stadium Perak Ipoh esok.

Acara riben biru itu akan menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan juara ketiga-tiga saringan antara Muhammad Aqil Yasmin dari Selangor, Muhammad Zulfiqar Ismail (Terengganu) dan Muhammad Haiqal Hanafi (Negeri Sembilan) selepas ketiga-tiganya mengungguli saingan separuh akhir. 

Aqil paling mencuri tumpuan apabila mencatatkan masa terpantas pada saringan pertama separuh akhir dengan catatan 10.66 saat (s) diikuti Haiqal 10.77s dan Zulfiqar 10.82s.

Bagaimanapun, Zulfiqar melihat peluang untuk menang adalah seimbang biarpun mengakui masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan trek. 

“Apa yang penting, saya perlu lebih fokus kerana perlu berlari dalam keadaan cuaca panas dan berangin,” katanya yang mencatat masa terbaik peribadi 10.40s di Jerman April lalu.

Sementara itu, Haqial yang turut membarisi kuartet 4x100m di Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini berkata, apa yang perlu dilakukannya ialah bertenang. 

"Saya tidak boleh terlalu yakin. Prestasi saya di separuh akhir agak memuaskan tapi ia boleh diperbaiki terutama ketika di blok pelepasan. 

"Faktor cuaca juga memainkan peranan dan selepas ini saya akan lihat balik rakaman larian dan cuba perbaikinya," kata Haiqal yang mencatatkan masa terbaik peribadi 10.47s di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura April lalu. 

Dalam acara 100m wanita pula, pelari Sabah Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dijangka menerima tentangan daripada pelari kebangsaan, Azreen Nabila Alias dari Terengganu. 

Namun, berdasarkan prestasi semasa Azreen yang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dilihat menjadi calon pilihan untuk dinobatkan sebagai Ratu Pecut SUKMA kali ini.

85 dibaca
Berita Harian X