Selasa, 31 Julai 2018 | 7:24pm
MUHAMMAD Aiedel Saadon.

Aiedel tekad muncul Raja Pecut Sukma Ipoh

KUALA LUMPUR: Pelari remaja negara, Muhammad Aiedel Saadon berhasrat melakar sejarah yang baru pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh pada September ini sekaligus mengikut jejak langkah seniornya, Khairul Hafiz Jantan.

Pelari berumur 18 tahun itu yang sekadar diturunkan sebagai atlet simpanan buat Melaka pada temasya dua tahun lalu di Sarawak, berpeluang menyaksikan rekod baru kebangsaan yang dilakukan Khairul dalam acara 100 meter dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadam rekod 18 tahun milik Watson Nyambek, 10.30s.

 

"Saya tak akan menyerah kalah dan berusaha lebih kuat lagi kerana saya mengharapkan untuk memecah rekod Sukma di Ipoh nanti," kata Aiedel yang juga memenangi satu emas dan satu perak ketika Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) yang berlangsung dua minggu lalu.

"Seperti pada ASG, saya terlepas pingat emas dalam acara 100m kepada pelari Indonesia dan pada hari berikutnya saya berjaya membaiki kesilapan untuk membantu kuartet memenangi emas 4x100m."

Pada ASG2018 di Kuala Lumpur, Aiedel ketinggalan 0.03s kepada pelari Indonesia, Adi Ramli Sidiq, yang muncul raja pecut acara 100m apabila menjuarai saingan itu dengan 10.85s.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu bagaimanapun mempunyai catatan peribadi terbaik iaitu 10.57s yang dilakukannya ketika Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun lalu.

"Sejak Mei lalu, prestasi saya sebenarnya tidak begitu menentu. Bagaimanapun ia berubah sehinggalah pada ASG itu di mana saya dapat membaiki teknik larian dan menghasilkan keputusan yang membanggakan," katanya.

Anak didik Mohd Poad Md Kassim itu berkata dia berharap dapat menggunakan kesempatan di SUKMA untuk menaikkan nama Melaka sekali gus meneruskan kecemerlangan yang dilakukan Khairul.

 

22 dibaca
Berita Harian X