Jumaat, 27 Julai 2018 | 5:42pm
Ketua Jurulatih Olahraga, Zainal Abas (kiri) dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan Kejurulatihan Persedian Sukan SEA 2017 di pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM). - Foto Osman Adnan

KOM kena tanggung Khairul Hafiz, kuartet 4x100 

KUALA LUMPUR: Tempoh dua bulan berada di Jerman tidak cukup buat kuartet 4x100 negara untuk melayakkan diri beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan. 

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas berkata, setakat ini tiada pertambahan atlet dalam kategori A dan ia masih kekal kepada tujuh atlet, lima lelaki dan dua wanita. 

Ini bermakna nasib kuartet dan atlet pecut seperti Khairul Hafiz Jantan bergantung sepenuhnya kepada kantung Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana mereka hanya disenaraikan di bawah kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). 

Namun, jika dikira berdasarkan prestasi individu membabitkan enam atlet yang berkampung di sana, Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa serta ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli boleh dianggap membanggakan.

Khairul Hafiz berjaya merekodkan catatan terbaik tahun ini 10.28 saat (s), Zulfiqar pula berjaya merekodkan 10.40s catatan masa terbaik peribadi dan Husniah yang sudahpun layak ke Sukan Asia mencatatkan masa sekitar 11.60s.

Jurulatih pengiring ke Jerman, M Balamurugan berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian semua atlet apabila dapat memperbaiki catatan masa masing-masing. 

Katanya, kombinasi kuartet baharu terdiri daripada Khairul Hafiz, Haiqal, Zulfiqar, Nixson dan Jonathan juga tidak menghampakan biarpun gagal untuk melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia. 

"Tempat latihan yang bagus. Tiada apa-apa gangguan dan berhubung prestasi atlet, saya puas hati. Semua melakukan tugas dengan baik.

"Mereka berjaya mengekalkan prestasi masing-masing dan pasukan berganti-ganti juga mula menunjukkan keserasian dengan gandingan baharu ini. 

"Malangnya tidak banyak pertandingan buat kuartet," kata Balamurugan.

Rekod kebangsaan acara itu 39.27s dirakamkan Haiqal, Jonathan, Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017)

Sepanjang di Jerman, kuartet negara sekadar merekodkan 40.19s pada pertandingan pertama dan 40.29s di kejohanan kedua.

74 dibaca
Berita Harian X