Khamis, 14 Jun 2018 | 2:11pm
JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

Poad mahu segera ke Eropah

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim menyambut baik hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menghantar kuartet 4x100m negara ke Eropah.

Ia adalah langkah terbaik buat pasukan negara yang kini berusaha untuk memburu kelayakan secara merit atas tiket kategori A ketika sukar mendapatkan pertandingan berkualiti di negara ini.

Poad ketika dihubungi berkata, beliau amat yakin barisan pelari negara itu mampu melakukan catatan di bawah 39 saat (s) jika diberi lebih banyak peluang bertanding dalam kejohanan kompetitif.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan menggunakan khidmat dua pelari muda iaitu Haikal Hanafi dan Muhammad Muhammad Zulfiqar Ismail dan menyisihkan Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manaf.

Malah Poad yang berjaya melahirkan ramai pelari berbakat seperti Khairul Hafiz Jantan yakin andai diberi lebih banyak peluang gandingan baharu ini terdiri daripada Khairul Hafiz, Jonathan Nyepa, Haikal dan Zulfiqar mampu melakar rekod baru kebangsaan seterusnya layak ke Sukan Asia secara merit.

"Saya akan menggunakan formula baharu dengan menyenaraikan dua pelari remaja iaitu Haikal dan Zulfiqar dalam kuartet.

"Pemilihan mereka adalah berdasar prestasi terkini kerana hanya yang terbaik akan disenaraikan mewakili negara. Saya yakin dengan gandingan baharu ini mampu lakarkan masa lebih pantas jika diberi peluang," katanya.

Bagaimanapun Poad menjelaskan Nixson dan Badrul tidak akan diketepikan namun akan diletakkan di bangku simpanan dan sekiranya catatan masa mereka lebih pantas daripada keempat-empat pelari sedia ada, tidak mustahil untuk disenaraikan semula.

Pencapaian terbaik pasukan kuartet negara adalah ketika temasya Komanwel Gold Coast apabila mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama dengan mencatatkan masa tahunan terbaik iaitu 39.37s oleh barisan pelari Khairul Hafiz, Nixson, Jonathan dan Badrul.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, latihan intensif dan pertandingan berprestasi tinggi penting bagi memastikan kuartet 4x100m lelaki negara mampu melepasi kelayakan minimum iaitu berada di ranking empat terbaik Asia.

12 dibaca
Berita Harian X