Ahad, 3 Jun 2018 | 5:26pm
PELARI pecut remaja, Muhd Haiqal Hanafi kecewa apabila hasratnya menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Finland bulan depan terpaksa dilupakan. - Foto Rasul Azli Samad

Haiqal lupakan Kejohanan Remaja Dunia

KUALA LUMPUR: Gembira apabila dikatakan berpeluang untuk disenaraikan ke Sukan Asia di Indonesia buat kali pertama, pelari pecut remaja, Muhd Haiqal Hanafi dalam masa yang sama turut kecewa apabila hasratnya menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Finland bulan depan terpaksa dilupakan.

"Kalau ikutkan jurulatih (Mohd Poad Md Kassim), dia suruh saya beri fokus terhadap Sukan Asia kerana saya berpeluang ke sana tetapi apa pun bergantung kepada prestasi saya," katanya kepada NSTP.

Haiqal berkata jurulatihnya berkata dia perlu membuat catatan masa yang terbaik untuk memastikan mendapat tempat dalam kuartet 4x100 meter pada Sukan Asia nanti.

Pelari berumur 19 tahun itu berkata dia sebelum ini melayakkan diri ke Finland apabila mencatatkan 10.47 meter dalam acara 100 meter pada Terbuka Singapura, bulan lalu.

"Saya bersama tiga atlet lagi sepatutnya dapat pergi (Kejohanan Dunia) tetapi dibatalkan disebabkan masalah kewangan," katanya.

Haiqal yang berasal dari Senawang, Negeri Sembilan disenaraikan dalam kelompok enam pelari yang akan merebut tempat dalam 4x100m ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini. Pelari lain yang turut tersenarai adalah Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abd Manaf, Nixson Kennedy dan juga Muhammad Zulfiqar Ismail.

Di antara enam kuartet itu, Khairul Hafiz masih memegang rekod terpantas pada tahun ini iaitu 10.34s diikuti Jonathan 10.40s, Zulfiqar (10.46s), Haikal (10.47s) dan itu bermakna Nixson dan Badrul terpaksa disenaraikan sebagai pelari simpanan.

Untuk rekod, Haiqal yang bergandingan bersama Jonathan, Badrul Hisham dan Nixson pula berjaya mencatatkan 39.27s untuk mencatatkan rekod kebangsaan yang baru biarpun sekadar berada di kedudukan keempat keseluruhan pada Sukan SEA 2017.

"Bagi saya, gandingan pada Sukan SEA tempohari adalah baik cuma kalau Khairul Hafiz (Jantan) turut disenaraikan, pastilah gandingan kuartet yang ada semakin mantap," katanya.

Haiqal akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, pada 7 hingga 10 Jun ini sekali gus menggalas tugas untuk meneruskan kejayaan yang digalas Khairul Hafiz apabila memenangi emas dengan 10.36 saat pada kejohanan itu dua tahun lalu.

"Pada kali ini saya akan bersaing dalam acara 100m dan 4x100m kerana jurulatih mahu saya beri fokus dua acara ini. Dua tahun lalu saya sekadar mara ke separuh akhir acara 200m," katanya.

53 dibaca
Berita Harian X