Jumaat, 1 Jun 2018 | 5:55pm
MOHD Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

Poad mahu yang terbaik untuk negara

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy berkemungkinan besar terpaksa diketepikan daripada kuartet negara ke Sukan Asia Indonesia, Ogos ini jika catatan masa terbaik peribadi mereka diambil kira.

Perkara itu dimaklumkan jurulatih Mohd Poad Md Kassim biarpun kedua-duanya berada dalam senarai pelari yang melakar rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Malah, keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyenaraikan enam pelari ke temasya itu dalam senarai panjang untuk dinilai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah satu keputusan tepat kerana akan membuatkan semua barisan pelari berusaha untuk layak.

Terdahulu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim memaklumkan beliau menghantar enam nama atlet pecut termasuk dua pelari remaja, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Haiqal Hanafi selain Khairul Hafiz Jantan, Badrul, Nixson dan Jonathen Nyepa.

"Saya tidak kisah siapa yang akan membarisi kuartet kerana saya mahu yang terbaik untuk negara.

  "Jika ikutkan ranking ketika ini, Khairul Hafiz masih mendahului diikuti Jonathan, Zulfiqar dan Haiqal. Tapi masih ada masa lagi untuk semua pelari memperbaiki masa masing-masing," katanya.

   Untuk rekod, catatan terbaik Khairul Hafiz ketika ini adalah 10.34s diikuti Jonathan 10.40s, Zulfiqar (10.46s), Haikal (10.47s) dan bermakna Nixson dan Badrul terpaksa diletakkan di bangku simpanan.

Malah, Zulfiqar dan Haikal berjaya menewaskan Badrul ketika di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan lalu.

Pada Sukan Komanwel, April lalu, kuartet negara terdiri daripada Khairul Hafiz, Badrul, Nixson dan Jonathan mencipta sejarah apabila mara ke final buat kali pertama dan mencatatkan masa terbaik iaitu 39.37 saat di pusingan akhir.

Haiqal pula yang menggantikan Khairul Hafiz bersama Jonathan, Badrul Hisham dan Nixson Kennedy pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur berjaya mencatatkan 39.27 saat untuk mencatatkan rekod kebangsaan yang baru biarpun sekadar berada di kedudukan keempat keseluruhan.

30 dibaca
Berita Harian X