Selasa, 29 Mei 2018 | 6:56pm
DATUK Karim Ibrahim. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Jangan salahkan KOM

KUALA LUMPUR: "Jangan salahkan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) sekiranya atlet tidak dapat menjalani latihan dan pertandingan di luar negara."

Perkara itu diluahkan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim selepas jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim masih belum memberikan persetujuan secara bertulis berhubung kesediaan melepaskan anak didiknya berlatih di luar negara.

Setakat ini, hanya M Balamurugan (jurulatih), Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixson Kennedy yang bersetuju dengan hasrat KOM menghantar atlet ke Eropah sempena persiapan menjelang Sukan Asia, Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos ini.

"KOM mencadangkan nama atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk ke Sukan Asia. Sebagai persiapan, saya sudah berbincang dengan Poad untuk menghantar atlet 4x100 meter (m) iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy selain Zaidatul Husniah.

"Mereka akan berlatih bersama jurulatih Amerika Syarikat (AS) di Eropah dan bertanding. Ketika saya berjumpa Poad di Terbuka Malaysia, beliau sudah setuju hendak hantar atlet tetapi setakat ini tidak memberikan surat ... hitam putih.

"KOM sudah berikan peluang, bukan bermakna KOM salah dan selepas ini jangan cakap KOM tak hantar atlet ke mana-mana," kata Karim kepada sukan NSTP.

Mengulas lanjut, Karim berkata atlet dan jurulatih akan dihantar ke Eropah secepat mungkin selepas perkara itu dimaklumkan kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

Jelasnya, terdapat enam siri latihan dan pertandingan dalam masa 60 hari dan dikendalikan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

Antara cadangan latihan dan pertandingan di Eropah adalah Paavo Nurmi Games - 100m & 200m (6 Jun), Motonet GP Espoo (13 Jun), Saarijavi 100m (24 Jun), Motonet GP Joensuu (4 Julai) dan Lahti Star Comps (7 Julai).

"Kita tidak sempat sertai Paavo Nurmi Games (100m dan 200m) pada 6 Jun tetapi sesi latihan akan berlangsung selama 60 hari. Disebabkan di AS tidak ada kejohanan maka beliau (Miller) akan membantu kita," katanya.

Berita Harian X